Sebuah syarikat di China mempunyai cara yang unik untuk menjaga kebajikkan pekerjanya apabila membenarkan mereka untuk mengambil cuti sekiranya tiada mood untuk masuk bekerja.

Tidak perlu memberi alasan terlalu panjang, cukup sekadar memaklumkan pada majikan bahawa mereka tidak bersemangat untuk menjalankan tugas.

Malah, syarikat taman tema ini, China Dinosaurs Park turut memperuntukkan sehari cuti bergaji setiap bulan khas untuk para pekerjanya yang moody untuk bermalas-malasan di rumah.

Menurut kenyataan oleh wakil taman tema tersebut, polisi yang diamalkan oleh syarikat mereka bertujuan untuk meningkatkan prestasi dan emosi para pekerjanya. Malah, polisi ini sudah diamalkan sejak tiga tahun lepas.

Selain itu, polisi ini juga dianggap sebagai hadiah kepada para pekerja mereka yang seringkali berhadapan dengan pelbagai karenah pengunjung taman tema sehingga kadang-kala boleh membuatkan staf-staf ini merasa tertekan.

Kata wakil itu lagi, hanya pekerja yang gembira ketika menjalankan tugas yang mampu memberikan layanan terbaik kepada pengunjung taman tema tersebut.

Polisi tersebut kemudian menjadi bualan di media sosial negara tembok besar itu yang rata-rata memuji langkah baik yang diambil oleh syarikat tersebut.

Selain polisi ‘cuti tiada mood’ ini, beberapa syarikat lain di China turut mengamalkan polisi cuti yang hampir sama seperti ‘cuti janji temu’ yang membenarkan mana-mana staf bujang mengambil cuti bergaji untuk tujuan mencari pasangan hidup.

Sebuah sekolah di Hangzhou juga memperuntukkan cuti dua hari setengah setiap bulan untuk semua tenaga pengajarnya yang belum berkahwin untuk tujuan yang sama, setiap bulan.

Bagi pengguna media sosial, cuti tiada mood dan cuti janji temu adalah antara kaedah moden yang diamalkan oleh syarikat-syarikat China dalam mengawal tenaga sumber manusianya.

 

 

© Siakap Keli