SHAH ALAM: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa generasi muda mengubah budaya hidup dengan mencontohi kerja keras orang Jepun dan China yang berjaya bangkit daripada ketinggalan.

“Saya kagum dengan orang Jepun, mereka membangunkan semula negara yang hancur akibat perang. Waktu sejuk pun masih kerja kuat. Kalau tidak menunaikan janji mereka adalah sesuatu yang memalukan, ini tradisi mereka sampai bunuh diri.

“Mereka malu bila gagal tapi ada bangsa gagal tapi senyum, seperti tak rasa malu. Jadi kita harus elak perasaan malu apabila gagal dan berusaha menguasai pelbagai bidang dan menandingi pencapaian orang barat.

“Dulu kita ajar orang Jepun main bola sekarang kita duduk entah dekat mana,” katanya yang berucap di depan hampir 1,000 pelajar ketika Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia malam tadi.

Mahathir juga menganggap China berubah menjadi negara maju kerana rajin berusaha.

“Kita kena ingat dahulu China adalah negara membangun yang tiada sumber pendapatan tinggi tetapi disebabkan mereka rajin, mereka kini berjaya menghantar satelit ke bulan dan mempunyai pasukan jet pejuang sendiri.

“Dahulu mereka di belakang kita, sekarang mereka di hadapan. Kita boleh buat perkara sama seperti China sebabnya dahulu mereka jual kereta Cherry di Malaysia tidak laku sekarang bila mereka perkenalkan X70, ia lebih canggih berbanding kereta Eropah.

“Jadi kita boleh buat tapi tak nak buat, boleh kejar ilmu dan kecekapan sehingga menguasai bidang seperti negara maju,” katanya.

Beliau menambah, orang Jepun juga tidak memilih dalam bidang pekerjaan walaupun tergolong dalam kalangan berada.

“Ada yang lebih kaya tapi masih sanggup sapu sampah seperti orang biasa. Kita kena rajin ambil sebarang kerja, tidak bergantung kepada bantuan kerajaan atau sesiapa.

“Sepatutnya zaman ini tak ada orang lagi yang tak boleh dapat kerja. Banyak peluang kerja tetapi kalau tidak berusaha, kalau tidak dapat kerja jangan mengadu pula,” katanya.

©