IPOH – Kementerian Sumber Manusia bersedia mengkaji cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengalih waktu bekerja siang kepada malam dalam sektor pekerjaan tertentu.

Menterinya, M Kula Segaran berkata, pihaknya masih menunggu keputusan akhir daripada cadangan itu sebelum melaksanakannya.

“Ini hanya cadangan dan belum ada keputusan lagi. Kebiasaannya dalam kerajaan, sekiranya ada sesuatu cadangan daripada perdana menteri, kita akan serahkan kepada satu jawatankuasa untuk siasat.

“Petugas inilah yang akan lihat sama ada boleh dilaksanakan atau tidak cadangan itu sebelum kita memaklumkan semula dalam mesyuarat kabinet. Kita masih belum melakukan apa-apa lagi setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan novel bertajuk ‘Kandiseemai’ yang ditulis oleh Maathalai Somu di Institut Latihan Perindustrian Ipoh di sini hari ini.

Menurutnya, bekerja pada sebelah malam tidak mustahil dilaksanakan dengan mengambil pendekatan daripada beberapa negara lain.

“Ada beberapa negara di dunia yang mengalihkan waktu kerja pada sebelah malam apabila cuaca terlampau panas pada waktu siang.

“Contohnya di negara Arab atau Selatan Eropah, walaupun beriklim sejuk, mereka juga mempunyai musim panas turut mengalihkan waktu kerja mereka,” katanya.

©