KUALA LUMPUR | Kementerian Sumber Manusia akan menyiasat sebuah syarikat di Johor Bahru yang didakwa tidak mengiktiraf Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai cuti umum.

Menurut sumber kementerian, pihaknya juga akan menjalankan siasatan berhubung kesahihan surat yang ditularkan menerusi media sosial itu.

Surat pekeliling syarikat yang ditujukan kepada semua pekerjanya itu tular di media sosial apabila ia didakwa tidak mengiktiraf Hari Pertabalan YDPA sebagai cuti umum atas alasan sudahpun mewarta 11 hari untuk cuti umum syarikat.

Surat yang tular di media sosial yang menunjukkan sebuah syarikat tidak mengiktiraf hari pertabalan itu sebagai cuti umum kerana mereka sudah mewartakan 11 hari untuk cuti umum.

“Isu ini kini dalam siasatan oleh Unit Tindakan Pematuhan Undang-Undang Jabatan Tenaga Kerja,” jelasnya.

Dalam kandungan surat yang tular itu, pihak syarikat dipetik sebagai tidak akan memberikan sebarang pertimbangan berhubung perkara itu dan kakitangan yang tidak hadir bekerja pada tarikh itu akan diberikan surat amaran.

Malah, surat yang memaparkan tandatangan pengarah urusan syarikat itu berkata pihaknya tidak akan melayan sebarang pengumuman cuti umum oleh kerajaan kerana senarai cuti umum yang dibuat oleh syarikat adalah muktamad.

Sebelum ini, pada 26 Julai lalu, kementerian tersebut dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa tarikh 30 Julai yang diumumkan Kerajaan Persekutuan sebagai hari kelepasan am tambahan di seluruh negara sempena Hari Pertabalan YDPA.

Ia juga cuti umum yang diperuntukkan kepada pekerja sektor swasta menurut Seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955.

“Jumlah keseluruhan hari cuti umum berbayar bagi para pekerja pada tahun 2019 adalah berjumlah dua belas (12) hari,” jelasnya lagi.

Berdasarkan kepada peruntukan itu, majikan boleh menggantikan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti umum bergaji kepada pekerja.

Sekiranya tiada penggantian dibuat dengan mana-mana hari lain, pekerja yang bekerja pada tarikh itu layak menerima kadar gaji kerja pada cuti umum.

Menurut kementerian itu lagi, cuti yang diisytiharkan Kerajaan Persekutuan itu adalah mengikut Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951(Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kementerian menjelaskan kenyataan itu dikeluarkan bagi menarik perhatian majikan sektor swasta berkaitan kewajipan memberi cuti umum tambahan itu kepada pekerja selain menggariskan hak pekerja mendapat cuti umum bergaji bagi hari kelepasan berkenaan selaras dengan peruntukan perundangan perburuhan di Malaysia.

 

©