Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) berkata syarikat-syarikat yang enggan memberikan cuti pada pekerja mereka sempena Hari Pertabalan Yang Dipertuan Agong, yang telah diisytiharkan sebagai cuti umum, akan berdepan dengan tindakan.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada memo yang dikeluarkan sebuah syarikat percetakan kepada pekerjanya.

Dalam memo itu, syarikat berkenaan menegaskan bahawa hari cuti umum untuk tahun ini sudah ditetapkan untuk 11 hari dan ia “tidak akan menganggap Hari Pertabalan Agong sebagai cuti umum”.

Memo itu turut berkata bahawa syarikat berkenaan “tidak akan melayan sebarang pengumuman cuti tambahan yang diumumkan oleh kerajaan” dan pekerja yang gagal hadir untuk bekerja akan menerima surat amaran.

Sementara itu, JTKSM berkata perkara berkenaan sedang disiasat oleh unit pematuhan undang-undangnya.

“Majikan akan dimaklumkan mengenai tanggungjawabnya untuk mematuhi Seksyen 60D (1) Akta Kerja 1955,” katanya dalam satu kenyataan.

JTKSM menambah bahawa seksyen 60D (1) (a) Akta Kerja 1955 menyatakan bahawa hari cuti umum dalam setahun adalah 11 hari, Seksyen 60D (1) (b) juga menyatakan bahawa kerajaan boleh mengisytiharkan hari cuti tambahan sebagai cuti umum selaras dengan Akta Cuti 1951.

“Oleh itu, jumlah cuti umum yang dibayar untuk pekerja pada tahun 2019 adalah sejumlah 12 hari.

“JTKSM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang enggan mematuhi kewajipannya di bawah Seksyen 60D Akta Kerja 1955,” katanya.

Hari Pertabalan Agong ditetapkan pada 30 Julai ini, bersamaan hari Selasa.

© Malaysiakini