KUALA SELANGOR | Seorang pekerja kilang yang diberhentikan kerja atas manipulasi pihak majikan berjaya mendapat keadilan di Mahkamah Buruh Kuala Selangor apabila pihak majikan diarahkan untuk membayar kepadanya faedah pemberhentian kerja untuk tempoh perkhidmatan terkumpul selama 29 tahun!

Chandran a/l Subrayan bekerja sebagai seorang pekerja tetap di Syarikat Roca Sdn Bhd di Bestari Jaya, Batang Berjuntai, Selangor, sejak 22 Mei 1989. Beliau bermula bekerja sebagai pelatih di kilang pembuat peralatan tandas tersebut, dan telah dinaikkan pangkat ke jawatan penyelia kepada bengkel acuan tuangan dalam kilang itu. Ketika Chandran menyertai syarikat tersebut, nama syarikat ialah Armitage Shanks Malaysia. Syarikat ROCA (Malaysia) Sdn Bhd telah mengambilalih pengurusan kilang daripada Armitage Shanks Malaysia pada tahun 2008.

Pada 28 Mei 2018, Chandran telah dimaklumkan oleh pengurusnya bahawa Stephanie Murugasu, Ketua Jabatan Sumber Manusia untuk syarikatnya, hendak berjumpa dengannya di pejabat syarikat. Chandran pun telah pergi berjumpa Stephanie pada jam lebih kurang 9.30 pagi pada 28 Mei 2018.

Dalam perjumpaan dengan Stephanie, Chandran telah diberitahu bahawa pihak pengurusan syarikat tidak menerima surat penjelasan Chandran bagi Surat Tunjuk Sebab bertarikh 11 Mei 2018, berkenaan dengan pertuduhan prestasi kerja yang tidak memuaskan terhadapnya. Stephanie telah menyatakan bahawa pihak pengurusan akan mengadakan siasatan dalaman terhadap Chandran dan beliau akan diberhentikan kerja. Ini telah menyebabkan Chandran panik. Menurut Chandran, Stephanie juga memaklumkan kepadanya bahawa kalau dia tidak mahu diberhentikan kerja oleh pengurusan tanpa mendapat apa-apa pampasan, maka dia ada pilihan untuk letak jawatan. Dalam keadaan tertekan sebegitu, Chandran yang dijanjikan bahawa akan menerima faedah pemberhentian kerja, telah letak jawatan. Beliau juga disuruh terus keluar dari tempat kerja dengan serta-merta.

Namun, Chandran tidak dibayar faedah pemberhentian kerja untuk tempoh perkhidmatannya selama 29 tahun. dan Beliau hanya diberi bayaran ex-gratia RM 20,000. Amat jelasnya terdapat unsur manipulatif daripada pihak pengurusan syarikat dalam perkara memberhentikan kerja Chandran.

Chandran yang tidak berpuas hati dengan tindakan majikan telah berjumpa dengan Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk mendapatkan bantuan. Chandran telah memfailkan tuntutan di Pejabat Tenaga Kerja Kuala Selangor. Perbicaraan di Mahkamah Buruh Kuala Selangor telah berlangsung pada bulan April dan Mei 2019. Chandran diwakili oleh peguam dari Biro Guaman PSM, Kohila Y.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Buruh telah memutuskan bahawa Chandran telah dipaksa untuk meletak jawatan sendiri itu seakan-akan diberhentikan kerja oleh majikan, maka Chandran berhak untuk mendapat faedah pemberhentian kerja untuk tempoh perkhidmatan selama 29 tahun, iaitu dalam jumlah wang sebanyak RM 50,000.

 

© Image result for psm socialis logo SOSIALIS