KUALA LUMPUR | Hampir 100 pekerja Utusan Melayu Berhad mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat syarikat itu bagi menuntut tunggakan gaji selama 3 bulan.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohd Taufik Razak berkata dalam mesyuarat dengan pihak pengurusan Utusan di Kementerian Sumber Manusia hari ini, Pengerusi Eksekutifnya, Abd Aziz Sheikh Fadzir memaklumkan syarikat itu mungkin ditutup dalam masa beberapa minggu.

Angry Utusan workers picketing

Saying they have not been paid for months, staff of Malay daily Utusan Malaysia take their protests to the streets.Original Source: FMT

Posted by HRnews.my on Tuesday, 20 August 2019

“Mereka buat keputusan Utusan memang tidak ada duit bayar gaji untuk yang tertunggak dan pada masa-masa akan datang.

“Mereka tidak mempunyai wang dan gagal melupuskan aset yang ada. Mereka ugut akan tutup Utusan, mereka tidak mahu lagi beroperasi sebab tidak ada duit,” katanya.

Sebelum ini, 769 pekerja Utusan dilaporkan hidup dalam kesukaran sehingga ada yang terpaksa meminjam wang daripada ah long dan menggadaikan harta.

Aset hartanah tiada CF

Taufik yang juga pengerusi NUJ cawangan Utusan berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan pihak pengurusan majoriti aset syarikat tidak dapat dilupuskan kerana ia adalah hartanah yang tiada sijil perakuan kelayakan (CF).

“Perkara ini memang memalukan Utusan. Masalah tidak dapat lupuskan aset kerana kebanyakan bangunan syarikat tidak ada CF sebab itu kebanyakan bangunan Utusan tidak dapat dijual.

“Dulu, semasa Umno memerintah, mereka tidak ambil peduli hal ini sebab mereka ingat Umno boleh terus membantu, tetapi sekarang Umno sudah jatuh dan apabila hendak jual aset, tidak boleh jual.”

Katanya, orang Melayu khususnya akan rugi jika operasi Utusan yang selama ini banyak mengetengahkan masalah kaum itu, dihentikan.

“Sekiranya Utusan ditutup, ia satu tamparan kepada orang Melayu sebab Utusan adalah akhbar yang memperjuangkan hak melayu. Akhbar ini sudah wujud selama 80 tahun, ia seolah-olah menutup suara orang Melayu.”

Sementara itu, pereka grafik, Nik Mohd Hasmazi Hassan yang berkhidmat 23 tahun di Utusan meminta ahli politik yang pernah mendapat liputan dan publisiti dalam akhbar itu untuk tampil membantu pekerjanya.

“Kami ini dibantu seperti mangsa banjir. Kami sudah 3 kali tidak dibayar gaji. Kami ke syarikat bekerja untuk dapat pendapatan bagi menampung kehidupan, sebaliknya kami terpaksa meminjam untuk datang bekerja.

“Sebelum ini, kami diberitahu masalah gaji akan selesai 6 Ogos lalu, selepas itu keluar notis kata tidak dapat dilaksanakan kerana masalah teknikal, namun selepas itu pengurusan senyap.”

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon berkata, lebih baik pihak pengurusan memberitahu perkara sebenar kepada pekerja, bukannya berdolak-dalik.

“Wartawan tidak seharusnya dipersalahkan kerana mereka hanya ikut arahan pihak pengurusan. Pihak pengurusan gagal melaksanakan tanggungjawabnya. Mereka gagal mematuhi perundangan dan tidak beretika.”

Setiausaha Agung NUJ, Chi Sung Chew berkata potongan gaji untuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri, zakat, Pertubuhan Keselamatan Sosial, pinjaman bank dan Lembaga Tabung Haji tidak dibuat, tetapi potongan itu ada dinyatakan dalam slip gaji.

 

©