KUALA LUMPUR | Kerajaan tidak berhasrat untuk melanjutkan had umur persaraan penjawat awam daripada usia 60 tahun ketika ini kepada 65 tahun, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Kerajaan tidak berhasrat untuk melanjutkan had umur persaraan penjawat awam daripada usia 60 tahun ketika ini kepada 65 tahun

Kerajaan tidak berhasrat untuk melanjutkan had umur persaraan penjawat awam daripada usia 60 tahun ketika ini kepada 65 tahun.

Posted by HRnews.my on Tuesday, 3 September 2019

 

Katanya, keputusan itu muktamad dan terkini dibuat oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pembaharuan Perkhidmatan Awam yang bermesyuarat pada Mac lalu.

“Kita sudah putuskan bahawa usia 60 tahun adalah kekal. Jadi kita tidak ada cadangan untuk menaikkan usia persaraan penjawat awam kepada 62 atau 65 tahun.

“Memang kita menerima banyak cadangan tetapi setakat ini keputusannya masih kekal 60 tahun, jika masa akan datang kita tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Jubli Intan Institut Perkhidmatan Awam Negara (INTAN) ke-60 tahun, di sini, hari ini.

Ismail mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, semalam yang menyatakan bahawa kementerian itu sedia memperhalusi cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk meningkatkan had usia persaraan daripada 60 tahun sekarang kepada 65 tahun.

Sehingga kini, umur persaraan penjawat awam di negara ini sudah mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 20 tahun. Kali pertama, had usia persaraan penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001.

Ini diikuti tujuh tahun kemudian, apabila usia persaraan dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun pada 2008, manakala empat tahun kemudian had usia persaraan sekali lagi mengalami perubahan daripada 58 tahun kepada 60 tahun pada 2012.

Ismail berkata, ketetapan untuk mengekalkan had usia persaraan perkhidmatan awam itu diputuskan kerajaan berdasarkan pelbagai pertimbangan, termasuk untuk memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di negara ini.

Beliau berkata, keputusan itu juga selaras dasar ditetapkan kerajaan untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam sebanyak lima peratus menjelang 2021.

Katanya, mulai tahun ini kerajaan sudah mengambil langkah mengurangkan bilangan kakitangan awam sebanyak satu peratus, diikuti dua peratus masing-masing pada tahun 2020 dan 2021.

©