KUANTAN | Seorang pengurus sumber manusia sebuah syarikat di taman perindustrian di sini mendakwa kerugian RM7,298 kerana tersilap membayar gaji kepada kakitangan yang telah berhenti.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki yang berusia 27 tahun itu mendakwa, wang berkenaan dikreditkan ke dalam akaun milik dua bekas pekerja bagi pembayaran gaji Ogos, sedangkan mereka telah meletak jawatan pada Julai lalu.

“Pengadu mendakwa telah menghubungi bekas pekerja itu untuk memulangkan semula wang tersebut namun dimaklumkan mereka enggan memberikan kerjasama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, pengadu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

©