KAJANG | Sebanyak 1,109 syarikat dan majikan tampil memberi peluang pekerjaan kepada bekas penagih yang pulih di bawah program Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sejak Januari hingga bulan lalu.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pendekatan kerajaan dalam bentuk potongan cukai pendapatan majikan yang menggaji bekas penagih bagi tahun ini dan 2020 banyak mendorong perkembangan itu tahun ini.

“Perkara ini diharapkan dapat memberikan galakan kepada majikan atau syarikat untuk memberi peluang kepada penagih yang pulih di bawah program AADK untuk bekerja dengan mereka.

“Perkara ini juga boleh dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan oleh majikan atau syarikat untuk membantu pemulihan bekas penagih.

“Secara tidak langsung negara dapat mengurangkan kebergantungan kepada khidmat pekerja asing, mengurangkan pengangguran, jenayah dan paling penting mengurangkan kadar ‘relapse’,” katanya ketika berucap pada Majlis Kepulihan Klien AADK 2019 di Ibu Pejabat AADK, di Kajang, pada Khamis.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan 16 bekas penagih di bawah program AADK yang menerima anugerah masing-masing dengan ahli perniagaan, Hishamudin Abu Shahir, 53, dipilih sebagai Tokoh Kepulihan 2019.

Sementara itu, Muhyiddin berkata selain sistem sokongan sosial membabitkan keluarga dan komuniti, bekas penagih juga perlu dibantu mendapatkan pekerjaan dalam membantu mereka untuk kekal pulih daripada penagihan dadah.

“Pekerjaan menawarkan peluang kepada bekas penagih untuk memajukan diri, meningkatkan hubungan kekeluargaan dan sosial, membina semula kestabilan kewangan dan akhirnya memulihkan keyakinan diri,” jelasnya lagi.

Berdasarkan kajian dalam bidang pemulihan dadah, faktor pekerjaan adalah salah satu komponen penentu kepada kejayaan pemulihan.

Untuk rekod, sehingga Julai lalu, statistik AADK menunjukkan bilangan Orang Kena Pengawasan (OKP) yang bekerja adalah seramai 39,791 orang atau 73.8 peratus.

 

©