Harap menjadi pengajaran kepada majikan lain

AYER KEROH | Gara-gara cuba memalsukan maklumat permohonan warga asing, sebuah syarikat di kawasan Perindustrian Bukit Rambai telah didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu pada 15 Oktober tahun lalu yang mana menerusi ejennya, tertuduh telah memberi maklumat palsu dalam bentuk surat akujanji untuk menyokong urusan permohonan pekerja asing.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 98 (c) Akta Kerja 1955, sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen 99A iaitu denda maksimum RM10,000.

Tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan tersebut selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa dan Majistret Nazrin Ali Rahim telah menjatuhkan hukuman denda RM8,000.

Jabatan Tenaga Kerja Melaka (JTKM) dalam satu kenyataan memandang serius terhadap perkara ini dan meminta setiap majikan untuk lebih telus dalam setiap urusan permohonan pekerja asing agar ia tidak memberi impak kepada jabatan dan negeri Melaka amnya, di masa akan datang.

© MelakaKini Sdn Bhd