JASIN | Laporan polis dibuat sekumpulan wakil pekerja sebuah kilang di Lipat Kajang, di sini, selepas mereka mendakwa dipaksa datang bekerja oleh pihak pengurusan dalam tempoh Arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Wakil kumpulan itu, hanya ingin dikenali Mat, 23, berkata, selain dipaksa bekerja pihak pengurusan juga mengugut akan memotong gaji sekiranya pekerja enggan datang bekerja seperti biasa.

“Laporan polis ini dibuat kerana saya dan rakan yang lain tidak mahu bekerja serta berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengurusan kilang yang membuat ugutan terhadap kami.

“Kami tidak mahu menanggung risiko jangkitan wabak Covid-19 yang kini sedang menular dan kritikal serta mematuhi arahan kerajaan supaya tidak keluar bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa,” katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Jasin Dr Akmal Saleh berkata, pihaknya mahu mereka yang terbabit menyiasat dakwaan pekerja berkenaan yang dipaksa untuk bekerja dalam tempoh arahan.

“Sekiranya betul, tindakan pihak pengurusan kilang berkenaan melanggar undang-undang ditetapkan.Saya mohon supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kerana ia boleh membahayakan banyak pihak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan.

“Kes ini dirujuk kepada Pejabat Buruh untuk tindakan lanjut,” katanya.

 

 

©