PUTRAJAYA | Kerajaan memutuskan semua majikan di sektor swasta perlu menghantar senarai kakitangan mereka yang perlu bekerja kepada polis.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi kakitangan sektor awam pula, surat perjalanan akan dikeluarkan oleh ketua setiausaha (KSU) kementerian masing-masing.

“Kita benarkan pekerja untuk bekerja dan tidak semua diberi pelepasan tidak datang bekerja. Apabila mereka melalui sekatan polis, mereka gagal menunjukkan bukti.

“KSU akan mengeluar surat perjalanan untuk kakitangan kerajaan manakala sektor swasta perlu surat kebenaran perjalanan melalui majikan mereka.

“Majikan juga perlu menyerahkan senarai pekerja ke balai polis berdekatan supaya dapat pelepasan mudah ketika pemeriksaan polis,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, jumlah peratusan yang mematuhi Perintah Pergerakan Pergerakan (PKP) sudah meningkat daripada 90 peratus kepada 92 peratus.

“Semalam (kelmarin), terdapat sebanyak 1,903 sekatan jalan raya dilakukan iaitu peningkatan sebanyak 98 peratus daripada sebelumnya. Ia membuktikan kesan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sebanyak 120,615 kenderaan diperiksa di jalan raya, jelas menunjukkan masih ada dalam kalangan rakyat yang keluar dan masih gagal untuk mematuhi larangan dikeluarkan,” katanya.

 

 

 

©