1. Mulai 4 Mei 2020, Kerajaan Malaysia akan membuka semula (restart) ekonomi negara dengan membenarkan industri dan aktiviti perniagaan untuk beroperasi secara menyeluruh.

2. Kebenaran ini tertakluk kepada persediaan dan langkah-langkah yang diambil oleh perniagaan untuk memastikan kepatuhan kepada Garis Panduan (SOP) yang telah ditetapkan di dalam dokumen ini.

3. SOP yang disediakan adalah untuk memastikan aspek kesihatan diutamakan dan terjamin dalam persekitaran di mana penularan wabak Covid-19 masih merupakan ancaman yang benar. SOP ini berhasrat untuk mengurangkan risiko kesihatan kepada orang awam dan di premis perniagaan, sekaligus mengelakkan perkhidmatan kesihatan negara dibebani sehingga tahap yang luar kawalan.

4. Sekiranya berlaku peningkatan penularan wabak COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau tindakan lain boleh dikuatkuasakan. Ini memberi kesan kepada usaha membuka semula ekonomi negara.

5. Pembukaan sektor-sektor ekonomi akan dilakukan secara berperingkat, sila rujuk kepada Senarai Aktiviti Yang Dilarang yang telah disediakan. Melainkan sektor-sektor yang dinyatakan dalam Senarai Aktiviti Yang Dilarang tersebut, kesemua sektor perniagaan yang lain dibenarkan untuk dibuka semula dan beroperasi berdasarkan SOP ini. Senarai tersebut akan dikemaskini dari masa ke semasa oleh badan Kerajaan dan agensi seliaan yang bertanggungjawab, mengambil kira tahap ketersediaan perniagaan untuk memulakan semula operasi.

6. Kegagalan untuk mematuhi SOP boleh membawa kepada tindakan undang-undang, penarikan balik kebenaran beroperasi atau apa-apa tindakan yang berkaitan. Kerajaan, melalui kerjasama antara Kementerian Kesihatan, PDRM, dan lain-lain badan penguatkuasa akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan dalam usaha memastikan SOP dipatuhi. Perniagaan diingatkan untuk memastikan sentiasa berhubung dengan badan Kerajaan seliaan yang bertanggungjawab untuk sebarang perkembangan terkini.

Dipetik daripada dokumen pengenalan “SOP Pembukaan Semula Ekonomi” yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)

 

 

©