SEORANG pekerja syarikat membekal ubat-ubatan mengaut ‘keuntungan’ RM700,000 selepas dikesan melakukan pecah amanah dengan mengemukakan invois palsu kepada pelanggan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tindakan suspek berjaya dihidu pengurusan syarikat sebelum dia ditahan semalam.

“Suspek berusia 35 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Puchong Utama selepas laporan polis dibuat syarikat berkenaan.

“Suspek adalah pekerja di syarikat membekal ubat-ubatan akan menjerat mangsa menggunakan invois palsu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, suspek akan menasihatkan pelanggan untuk memindahkan wang pembelian ke akaun peribadi miliknya.

“Lelaki berkenaan dikesan bergiat aktif sejak 2019 membabitkan kerugian RM700,000.

“Suspek kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

 

©