KUALA LUMPUR | Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi kelonggaran kepada majikan untuk menggaji pekerja asing yang telah diberhentikan oleh majikan lama sekiranya tidak mendapat sambutan daripada pekerja tempatan.

Menterinya Datuk Seri M. Saravanan berkata, bagaimanapun kementerian menggesa para majikan untuk memberikan keutamaan kepada pekerja tempatan dalam penawaran dan pengisian kekosongan yang ada.

“Penggajian pekerja asing ini perlu dilakukan terhadap mereka yang masih berada dalam negara dan masih mempunyai permit kerja yang sah serta dalam sektor pekerjaan yang sama.

“Majikan disarankan untuk memastikan pekerja asing yang bakal digajikan telah menjalani saringan COVID-19 sebagai prosedur operasi standard (SOP) serta sebagai langkah pencegahan penularan virus berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan merujuk kepada permintaan segelintir majikan yang mendakwa masih memerlukan sejumlah tenaga kerja asing sehingga mendesak kerajaan untuk menarik balik pembekuan terhadap pengambilan pekerja asing yang baharu.

Untuk melihat senarai atau data pekerja asing yang sudah menjalani saringan COVID-19, majikan boleh merujuk di laman web MYEG di www.myeg.com.my, menurut kenyataan itu.

Saravanan berkata majikan yang bercadang menggaji pekerja asing berkenaan harus membuat permohonan terlebih dahulu iaitu dengan mengisi borang dan menyerahkannya sendiri kepada Jabatan Tenaga Kerja di ibu pejabat Putrajaya, secara pos atau melalui e-mel ptm@mohr.gov.my

Borang berkenaan boleh dimuat turun dari laman web www.jtksm.mohr.gov.my

KSM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberikan kebenaran untuk penggajian semula pada awal Jun sebagai langkah memaksimumkan tenaga kerja sedia ada dan sebagai usaha merancakkan semula ekonomi negara.

Untuk rekod, sehingga Julai tahun ini, sejumlah 67,068 orang pekerja tempatan dan 4,753 orang pekerja asing telah kehilangan pekerjaan.

 

©