KEPALA BATAS | Kes pekerja keselamatan Mohana Das menuntut gaji kerja lebih masa (OT) yang tidak dibayar untuk 5 bulan dan potongan gaji pada hari rehat mingguan daripada bekas majikannya, telah dijadualkan untuk berjalan di Mahkamah Buruh Butterworth pada hari ini. Namun, sebelum perbicaraan bermula, pihak majikan bersetuju untuk membayar sepenuhnya tuntutan pekerja secara ansuran dua kali.

Pihak majikan pada awalnya enggan membayar apa-apa yang dituntut oleh pekerja, kemudiannya menawarkan bayaran RM2,000 lebih semasa rundingan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Pekerja menuntut pembayaran jumlah penuh yang dituntutnya kerana apa yang dituntut itu bukannya pampasan atau sagu hati tambahan sebaliknya adalah gaji yang sepatutnya diterima mengikut Akta Kerja 1955 [Seksyen 60A(3)(a) untuk bayaran OT dan Seksyen 59 untuk hari rehat mingguan].

Setelah perbicaraan kes ditangguhkan dua kali, akhirnya pihak majikan akur pada tuntutan pekerja hari ini dan bersetuju untuk membayar tuntutan penuhnya. Pekerja berjaya mendapat bayaran gaji yang tertunggak sebanyak RM5466,84. Pekerja mewakili diri sendiri dalam Mahkamah Buruh.