PETALING JAYA | Sapura Kencana Marine Sdn Bhd didenda RM10,000 selepas disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Majistret Sri Manjung, Perak kerana gagal melaporkan kemalangan seorang pekerja syarikat itu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dalam sabitan itu juga, mahkamah memerintahkan Sapura Kencana supaya melaporkan kemalangan itu kepada Perkeso dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan diumumkan.

Dalam kenyataan hari ini, Perkeso berkata, pekerja berkenaan, Abdul Rahman Salleh ditimpa kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari rumahnya ke tempat kerja pada 9 Nov 2016.

Bagaimanapun, Sapura Kencana enggan melaporkan kemalangan itu dengan alasan individu berkenaan bekerja sebagai kontraktor bebas, bukannya pekerja seperti dimaksudkan dalam Seksyen 2(5) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Kes berkenaan dikendalikan oleh ketua Unit Pendakwaan Perkeso, Yuzain Md Razak @ Mohd Yusof, dan mengambil masa selama 3 tahun bermula 2017.

Seramai 8 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Dalam sesi perbicaraan, Sapura Kencana membangkitkan isu kewujudan perjanjian kontraktor bebas yang antara lain menyatakan bahawa Abdul Rahman adalah seorang kontraktor bebas, bukan pekerja syarikat.

“Majistret Hafizh Abu Bakar dalam penghakimannya bersetuju dengan pihak pendakwa bahawa dalam memutuskan isu status kontrak perkhidmatan, mahkamah tidak terikat dengan sebarang label, tetapi melihat kepada fungsi dan tugas pekerja itu secara terperinci, di samping mengaplikasikan ujian penentuan kontrak perkhidmatan seperti dalam kes mahkamah sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

© FMT News