PETALING JAYA | Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) menggesa siasatan menyeluruh ke atas insiden seorang lelaki yang diberhentikan kerja baru-baru ini merempuh pejabat bekas majikannya dengan kereta sebelum maut dilanggar lori ketika menyeberangi jalan.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, kes itu menunjukkan ramai pekerja Malaysia menderita sewaktu bekerja dengan syarikat multinasional (MNC).

Katanya, kematian lelaki itu tidak boleh diketepikan, dengan pihak berkuasa dan MNC di Perak membisu berhubung kejadian terbabit.

“Sebaliknya, ia perlu mendorong kerajaan dan pihak berkuasa memulakan siasatan menyeluruh ke atas layanan syarikat multinasional dalam semua sektor terhadap pekerja Malaysia, termasuk industri perbankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengingatkan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan insiden sama berulang.

Solomon menggesa agensi kerajaan menghantar pemeriksa buruh yang ditemani wakil kesatuan pekerja melakukan pemeriksaan segera ke atas syarikat sedemikian.

Beliau turut kecewa dengan Kementerian Sumber Manusia yang dilihat “tidak mengendahkan” isu itu.

“Tiada pengumuman oleh Jabatan Buruh negeri atau Putrajaya yang siasatan telus akan dibuat ke atas punca kematian tragik itu.”

Minggu lalu, seorang lelaki yang kemurungan akibat diberhentikan baru-baru ini merempuh pejabat bekas majikannya di Perak dan melontar bom petrol “molotov cocktail” ke pejabat pengurusan syarikat itu.

Beliau meninggalkan kenderaannya dan berjalan kaki meninggalkan premis syarikat teknologi berpangkalan di Amerika Syarikat itu. Sejam kemudian, mangsa terbunuh selepas dilanggar lori semasa melintas jalan.

Sejurus selepas tragedi itu, muncul video mangsa meluahkan penderitaannya sewaktu bekerja dengan sebuah syarikat teknologi AS di Perak.

Dalam video yang dirakam sebelum kematiannya, lelaki berumur 50-an itu menceritakan penderitaan dan kemurungan di tempat kerja, termasuk dituduh mempunyai “isu prestasi”.

Katanya, tiada bukti ditunjukkan kepadanya untuk menyokong dakwaan itu dan mendakwa pernah meminta untuk berjumpa pegawai atasannya, tetapi tidak diendahkan.

Solomon berkata, NUBE bimbang bank MNC tertentu “terus melaksanakan dasar tidak adil dan diskriminasi yang menyebabkan pekerja Malaysia daripada kategori B40 dan M40” kehilangan pekerjaan mereka.

Selama bertahun-tahun, katanya, NUBE menyaksikan “semakin ramai” yang menghadapi pelbagai tahap tekanan mental dan gangguan emosi berikutan pelbagai bentuk penganiayaan oleh pengurusan bank tertentu.

“NUBE bersimpati dengan keluarga mendiang dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang bertanggungjawab terhadap trauma emosi di tempat kerja sehingga menyebabkan kematiannya.”

© FMT News