KUALA LUMPUR | Majikan yang berminat boleh memohon Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) secara dalam talian, mulai Isnin ini.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu kenyataan memaklumkan, permohonan perakuan rekalibrasi kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) itu boleh dibuat menerusi Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dalam laman sesawang: www.eppax.gov.my.

Katanya, pihak majikan bagaimanapun perlu memastikan mereka memenuhi syarat dan kriteria kelayakan ditetapkan.

“Majikan yang berminat perlu mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada Jabatan Imigresen Malaysia mengenai PATI hendak digajikan sebelum membuat permohonan perakuan rekalibrasi kepada JTKSM.

“KSM melalui JTKSM terbabit dalam melaksanakan pelan ini menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

“Program ini bertujuan meregularisasikan PATI yang ada di dalam negara sebagai pekerja asing yang sah,” katanya.

Sebarang pertanyaan, majikan boleh menghubungi Unit Kawal Selia dan Penggajian Pekerja Asing, Bahagian Pekerja Asing JTKSM melalui talian 03-8886 5192, hadir ke Pejabat Tenaga Kerja berhampiran atau mengemukakan pertanyaan melalui emel: eppaxteam@mohr.gov.my.

©