Menteri terkejut ratusan pekerja kilang berhimpit dalam kontena bau hancing, hapak

Menteri terkejut ratusan pekerja kilang berhimpit dalam kontena bau hancing, hapak

KAJANG | “Hamba zaman moden… malah keadaan lebih teruk berbanding prakemerdekaan.”

Itu reaksi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan ketika mengadakan lawatan mengejut di kemudahan penginapan pekerja di sebuah kilang sarung tangan di Batu 13, Kajang pada Isnin.

“Saya masih tidak boleh percaya wujud tempat macam ini di Malaysia dan masih tidak dapat pasti bagaimana mereka boleh hidup dalam keadaan kotor dan teruk begini.

“Saya panggil ini sebagai modern slavery (penghambaan moden), majikan perlu pastikan nasib mereka terbela.

“Patutnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dah kenal pasti tempat sebegini. Selagi Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) tak turun hari ini, mungkin kita tidak dapat kesan tempat ini.

“Saya amat sedih melihat keadaan ini… walaupun kita pernah lihat ini ketika dijajah British sebelum kemerdekaan,” katanya kepada pemberita.

Operasi lebih satu jam yang bermula kira-kira pukul 9.30 pagi itu turut disertai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada masa yang sama, Saravanan turut menzahirkan rasa malu dengan keadaan yang menimpa pekerja terbabit dan memberi amaran kepada majikan agar mematuhi kaedah pengendalian pekerja asing mengikut akta sedia ada.

“Saya sebagai menteri amat malu melihat keadaan seperti ini yang cukup teruk yang saya lihat setakat ini.

“Saya memberi amaran keras kepada majikan-majikan supaya mematuhi akta sedia ada dalam mengendalikan pekerja warga asing,” tambahnya.

Mengulas lanjut Saravanan berkata beliau akan meminta JTKSM untuk menyenaraihitam syarikat terbabit daripada mengambil pekerja asing.

Ditanya sama ada operasi syarikat itu akan ditutup atau sebaliknya, beliau menjelaskan perkara itu di bawah bidang kuasa PBT.

Tambahnya, pihak kementerian akan mengadakan perbincangan dengan badan tersebut dalam masa terdekat.

Difahamkan sejumlah 781 pekerja dengan 759 daripadanya pekerja asing tinggal di dalam kontena tersebut yang diubah suai menjadi kemudahan penginapan.

Tinjauan Astro AWANI mendapati kumpulan pekerja itu seolah ‘disumbat’ dalam satu kawasan sempit yang diburukkan lagi dengan bau hancing dan hapak.

Saravanan turut memaklumkan operasi mengejut itu akan diteruskan di seluruh negara secara berkala.

© Astro AWANI logo

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *