IPOH | Mahkamah Majistret Ipoh telah memutuskan kes perbicaraan ke atas 2 majikan berasingan iaitu Khor Chye Teck T/A Khor Chye Teck & Brothers dan Tan Ban Siong T/A Kinta Flooring yang mana kedua-duanya telah didapati bersalah dan seterusnya dihukum atas pertuduhan masing-masing.

Kedua-dua kes ini telah dibicarakan di hadapan Majistret Yang Arif Nabihah Binti Mohd Noor, Mahkamah Majistret Ipoh dan telah dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan PERKESO Encik Yuzain B Md Razak @ Mohd Yusof dengan dibantu oleh Encik Mohd Faizal Bin Nawawi, Cik Maria Diana Nathan A/P Iruthaianathan dan Puan Naline A/P Siver Raja, pegawai-pegawai pendakwa daripada Pejabat PERKESO Negeri Perak.

Kes pertama melibatkan Khor Chye Teck T/A Khor Chye Teck & Brothers yang telah didakwa di bawah seksyen 110(2) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) atas kegagalan mematuhi arahan untuk mengemukakan dokumen sepertimana yang dikehendaki di dalam Saman Jabatan.

Manakala bagi kes yang kedua, Tan Ban Siong T/A Kinta Flooring telah dituduh di bawah seksyen 5 kerana gagal mendaftarkan seorang pekerjanya sepertimana yang dikehendaki di bawah Peraturan 12 Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.

Semasa perbicaraan, isu utama yang dibangkitkan oleh kedua-dua tertuduh adalah berkenaan dengan status perkhidmatan pekerja mereka yang dianggap sebagai kontraktor bebas dan bukannya sebagai seorang pekerja, dengan itu mereka tidak diliputi oleh Akta. Sebaliknya, pihak PERKESO menghujahkan bahawa walaupun dengan kewujudan kontrak perjanjian bertulis, Mahkamah perlu mengaplikasikan dan menggunapakai ujian-ujian penentu kontrak perkhidmatan mengikut garispanduan yang telah diputuskan melalui keputusan kes-kes Mahkamah yang terdahulu. Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk menilai dan meneliti keseluruhan fakta melalui keterangan-keterangan yang dikemukakan sebelum memutuskan status sebenar pekerja-pekerja tersebut.

Pihak PERKESO ingin menegaskan bahawa kedua-dua majikan yang dituduh telah mentafsirkan ‘pekerja’ sebagai kontraktor bebas mengikut kefahaman mereka sendiri. Dengan melabelkan seorang pekerja sebagai kontraktor bebas dan kemudiannya berselindung disebalik kontrak perjanjian bertulis tidak menjadikan seseorang pekerja itu sebagai kontraktor bebas di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Keadaan ini sering berlaku ke atas majikan-majikan yang merasakan mereka dilindungi di bawah undang-undang kontrak sedangkan di dalam kes yang melibatkan status kontrak perkhidmatan, Mahkamah jelas mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan sebaliknya.

Di akhirnya, Mahkamah telah mensabitkan kedua-dua tertuduh dengan pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka. Khor Chye Teck T/A Khor Chye Teck & Brothers telah didenda sebanyak RM8,000.00 atau 6 bulan penjara manakala Tan Ban Siong T/A Kinta Flooring pula telah didenda sebanyak RM7,500.00 atau 6 bulan penjara. Sebagai pengajaran, adalah dinasihatkan agar majikan-majikan mendapatkan penerangan dan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak PERKESO sebelum menentukan status perkhidmatan seorang pekerja samada ianya adalah di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau kontrak untuk perkhidmatan.

Dalam melaksanakan fungsinya, PERKESO amat prihatin ke atas kebajikan pekerja-pekerja di luar sana untuk sentiasa dilindungi agar kebajikan mereka serta orang-orang di bawah tanggungan mereka terjaga dan terbela. Misi ini menjadi semakin penting apabila industri pekerjaan dan negara masih lagi berhadapan dengan cabaran getir akibat penularan pandemik virus covid-19.

Sehubungan dengan itu, pihak PERKESO akan senantiasa memastikan pematuhan berterusan ke atas Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.