PUTRAJAYA | Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini melahirkan rasa terkejut serta kesal terhadap tindakan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia yang melancarkan portal pekerjaan “Chakrir Khoj” oleh pada 8 April 2021 seperti yang dilaporkan oleh media tempatan.

Portal pekerjaan tersebut dikatakan bertujuan untuk membantu majikan mencari pekerja warga Bangladesh di negara ini serta membantu warga Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau yang tinggal melebihi tempoh masa di negara ini untuk menyertai Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Tenaga Kerja yang diumumkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun lepas.

“Saya amat terkejut dengan tindakan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh yang telah melancarkan portal pekerjaan ini tanpa sebarang rundingan atau pemakluman rasmi kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM).  Adalah tidak wajar bagi pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh untuk melancarkan portal pekerjaan kerana ia bukan peranan yang sepatutnya dilaksanakan oleh perwakilan diplomatik asing di negara ini.”

“Dari aspek perkhidmatan pekerjaan, KSM telahpun mempunyai portal pekerjaan nasional iaitu MyFutureJobs di mana kekosongan jawatan yang melibatkan pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang diiklankan di portal ini,” kata Saravanan di dalam kenyataan media beliau.

Menurut Saravanan lagi, KSM memandang serius tindakan yang diambil oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh kerana ianya boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat khususnya pihak majikan.

Ini berikutan perlaksanaan Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Tenaga Kerja yang dilaksanakan oleh KSM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mulai 16 November 2020 sehingga 30 Jun 2021 adalah dikendalikan sepenuhnya oleh Agensi Kerajaan dan majikan-majikan yang memerlukan tenaga kerja tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga. Sektor pekerjaan yang terlibat pula hanya merangkumi sektor pembuatan, pembinaan, perladangan dan pertanian.

Tambahan pula, di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246), pengambilan pekerja asing di negara ini hanya boleh dikendalikan oleh agensi pekerjaan swasta yang berlesen dengan pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Tindakan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh ini boleh mendorong kemasukan PATI warga Bangladesh ke negara ini kerana tertarik dengan peluang yang dijanjikan oleh portal pekerjaan tersebut. Ini secara tidak langsung boleh menjurus kepada eksploitasi pekerja-pekerja PATI yang boleh memberikan imej negatif kepada negara.

“Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah membincangkan isu pekerja warga asing semalam (14 April 2021) dan KSM telah diminta untuk mengemukakan keperluan sebenar pekerja warga asing di semua sektor pekerjaan mengambil kira pandemik COVID-19 yang melanda negara.”

“Walaupun saya sedar akan keperluan semasa pekerja asing dalam bidang-bidang yang tidak diminati oleh warga tempatan, saya masih mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam memastikan peluang pekerjaan sedia ada harus diberikan keutamaan kepada warga tempatan,” kata Saravanan lagi.

Tambah Saravanan, KSM juga sedang berbincang dengan majikan dalam sektor-sektor yang terjejas seperti pembinaan, perladangan dan pertanian untuk membuat iklan di MyFutureJobs bagi mengisi kekosongan yang ada bagi memastikan tiada pekerja tempatan yang dipinggirkan.

Tidak hanya itu, portal “Chakrir Khoj” juga akan menjejaskan peluang dan usaha lebih daripada 400 Agensi Pekerjaan Swasta (APS) kategori C yang berdaftar dengan KSM untuk membawa masuk pekerja asing. Ini kerana agensi ini telah hampir setahun tidak menjalankan perniagaan tetapi perlu membayar fi yang tinggi untuk kekal sebagai agen.

“Justeru, dalam keadaan semasa, adalah tidak wajar untuk Suruhanjaya Tinggi Bangladesh memperkenalkan portal pekerjaan yang dilihat bercanggah dengan hasrat Kerajaan mengenai perancangan keperluaan guna tenaga pekerja warga asing. Malah, pada masa yang sama akan memburukkan imej Kerajaan dan KSM,” kata Saravanan.

 

 

© The Sentral