Alor Setar | Seramai 129 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang positif Covid-19 di seluruh negara sudah menerima bayaran faedah di bawah Skim Bencana Kerja Perkeso, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, semua pencarum itu menerima bayaran masing-masing dengan jumlah keseluruhan RM216,898.

Beliau berkata, pencarum terbabit dibayar 90 peratus daripada gaji mereka mengikut jumlah hari mereka dirawat di hospital sehingga mereka disahkan negatif virus berkenaan.

“Kami menerima 376 permohonan di seluruh negara dengan 205 kes masih dalam siasatan manakala 42 kes ditolak. Kes ditolak adalah kerana mereka disahkan dijangkiti daripada keluarga, jangkitan sosial dan tidak positif Covid-19 (kontak rapat).

“Daripada jumlah keseluruhan itu, 77 permohonan diterima dari Pulau Pinang dan Kedah dengan 33 pencarum yang disahkan positif Covid-19 dari tempat kerja sudah dibayar sebanyak RM51,520.

“Manakala 17 kes masih dalam siasatan dan 27 kes ditolak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kedah di sini, hari ini.

Awang berkata, Perkeso menubuhkan badan bertindak khas untuk menyiasat tuntutan di bawah skim berkenaan bagi mempercepatkan urusan bayaran kepada mereka yang terbabit.

Katanya, permohonan pencarum dijangkiti wabak itu semasa bertugas akan diproses secepat mungkin dan tempoh maksimum diambil Perkeso selama 45 hari daripada hari kes diterima.

“Kita tubuhkan pasukan prihatin untuk menyelesaikan masalah ini, task force khusus untuk menyiasat dan mempercepatkan proses pembayaran.

“Jika permohonan itu memenuhi semua syarat Perkeso, kita akan tunaikan secepat mungkin…selesai proses hari ni, esok boleh bayar,” katanya.

© Harian Metro – The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd