Alor Setar | Kira-kira 30,000 penjawat awam yang belum mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 diminta akur dengan saranan kerajaan bagi membantu negara membentuk imuniti kelompok lebih cepat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, ini kerana kakitangan kerajaan adalah pelaksana dasar kerajaan yang pastinya perlu lebih dahulu mengamalkan dasar-dasar terbabit termasuk berkaitan vaksin.

“Dalam bahasa mudah kita adalah pekerja kerajaan yang menerima arahan dan menjalankan dasar kerajaan, sudah tentu kakitangan awam ini perlu patuh dengan arahan kerajaan.

“Penjawat awam juga petugas barisan hadapan yang menjadi ejen utama untuk rakyat kembali pulih membina ekonomi ketika pandemik, mereka bertugas dalam sistem penyampaian kepada rakyat, memang sangat penting mereka menerima vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan tiga unit respirator pembersih udara berkuasa (PAPR) kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Hadir bagi menerima sumbangan itu ialah Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Dr Siti Norhani Mazrah Khalid.

Mengulas lanjut, Adnan berkata ketua jabatan juga turut perlu memainkan peranan untuk memantau dan memastikan setiap penjawat awam di bawah seliaan menerima suntikan vaksin.

Katanya, dalam masa yang sama, penjawat awam yang belum mendaftar boleh secara terus mengambil suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di setiap daerah.

“Mungkin dalam situasi sekarang ada penjawat awam yang leka tidak mendaftar kerana bekerja dari rumah (BDR), ada juga yang tidak mendaftar kerana ada penyakit atau alahan tertentu, jadi ketua jabatan boleh mengambil pendekatan untuk berjumpa dengan mereka untuk mengetahui apa sebenar masalah yang dihadapi sehingga tidak mendaftar.

“Saya yakin selepas dibenarkan 100 peratus semua agensi kerajaan kembali bekerja di pejabat masing-masing, ketua jabatan boleh terus pantau pekerja mereka agar lebih ramai yang terima vaksin,” katanya.

Sementara itu, Dr Siti Norhani, berkata hampir 400 katil atau 36 peratus daripada 1,108 katil pesakit di HSB digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 44 katil adalah untuk pesakit Covid-19 yang kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

“Penggunaan katil kita di ICU sentiasa melebihi 100 peratus, kita terpaksa guna wad kelas satu dan dilengkapi dengan mesin pernafasan.

“Ramai antara mereka pesakit kategori empat dan lima dan juga orang muda yang berusia antara 20 dan 30 tahun, ada antara mereka yang belum lengkap vaksin dan ada juga yang sudah lengkap vaksin tapi belum cukup tempoh 14 hari,” katanya.

 

 

© Harian Metro – The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd