PENGUMUMAN

PROGRAM UJIAN SARINGAN COVID-19 FASA PEMULIHAN

 

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah melaksanakan Program Ujian Saringan COVID-19 Fasa Pemulihan bermula 6 September 2021 bagi memberikan kemudahan kepada majikan untuk melaksanakan ujian saringan COVID-19 di kalangan pekerja. Program ini terbuka kepada semua pekerja termasuk pekerja asing yang aktif mencarum dengan PERKESO dalam semua sektor pekerjaan.

Melalui program ini, PERKESO membekalkan Rapid Test Kit (RTK) Antigen kepada majikan dan majikan bertanggungjawab untuk menyelaraskan ujian saringan COVID-19 dengan klinik yang dipilih oleh majikan sendiri. Majikan juga perlu menanggung kos perkhidmatan bagi ujian saringan yang dijalankan di klinik.

Bagi memberikan kemudahan kepada majikan untuk melaksanakan ujian saringan COVID-19 dengan lebih mudah dan pantas, PERKESO akan turut membekalkan kit ujian COVID-19 kendiri (self-test COVID-19 test kit) melalui program ini.

Susulan dengan pengenalan bekalan kit ujian yang baru, majikan yang masih belum membuat permohonan kit ujian sebelum ini, boleh membuat pilihan jenis kit ujian sama ada Rapid Test Kit (RTK) Antigen yang dijalankan secara profesional oleh klinik atau Self-Test COVID-19 Test Kit yang boleh dijalankan secara kendiri. Permohonan boleh dibuat bermula 30 September 2021.

Kit ujian ini akan dibekalkan kepada majikan berdasarkan bilangan pekerja yang aktif mencarum dengan PERKESO.

Maklumat lanjut berkenaan program ini akan dikemaskini di Portal Program Saringan Prihatin (https://psp.perkeso.gov.my). Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel hsp@perkeso.gov.my atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089.

PENAMATAN PROGRAM SARINGAN COVID-19 BAGI PEKERJA ASING

PERKESO telah melaksanakan Program Saringan COVID-19 Bagi Pekerja Asing bermula 1 Disember 2020 bagi memberikan kemudahan kepada majikan untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 di kalangan pekerja asing. Melalui program ini, PERKESO telah membiayai kos Rapid Test Kit (RTK) Antigen bagi ujian saringan COVID-19 pekerja asing di seluruh negara dalam semua sektor pekerjaan.

Susulan pelaksanaan Program Ujian Saringan COVID-19 Fasa Pemulihan pada 6 September 2021, dimaklumkan bahawa Program Saringan COVID-19 Bagi Pekerja Asing ditamatkan bermula pada 20 September 2021.

 

 

©