GEORGE TOWN: Satu jawatankuasa khas bagi menangani masalah pengangguran dan tangga gaji rendah dalam kalangan belia negara telah diwujudkan, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan memperhalusi kedua-dua isu utama yang membelenggu golongan itu dan berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan dengan kadar segera.
Katanya, jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan disertai jemaah menteri dan tokoh korporat itu akan mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan di negara ini.
Syed Saddiq berkata, pengumuman mengenai jawatankuasa khas itu akan dibuat Perdana Menteri tidak lama lagi.
Katanya, statistik Kementerian Sumber Manusia dan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kadar pengangguran belia di negara ini berada pada paras 10.7 peratus.
Justeru, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berusaha untuk mengurangkan kadar pengangguran itu kepada ‘single digit’ menerusi jawatankuasa khas tersebut.
“Kajian yang dilakukan Bank Negara bulan lepas menunjukkan ada kebolehan tenaga kerja kemahiran tetapi tangga gaji sudah statik, mencecah 20 tahun. Jadi, masalah di Malaysia ialah tangga gaji anak muda. Ini masalah utama.
“Sepatutnya kita kena kolaborasi dengan sektor korporat supaya mereka berani untuk naikkan tangga gaji bagi anak muda. Mereka kata anak muda malas, tak mampu lakukan sesuatu kerana muda, mentah, minta gaji terlalu tinggi, ia tidak benar,” kata Syed Saddiq selepas merasmikan program Penang Youth Festival 2019 di Sungai Nibong, di sini.
Beliau berkata dengan adanya jawatankuasa khas itu ia secara tidak langsung dapat merealisasikan hasrat kerajaan mencipta satu juta peluang pekerjaan sepertimana dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum yang lalu.
Dalam masa sama, Syed Saddiq berkata, masalah tangga gaji yang rendah dan statik sejak 20 tahun lalu juga antara masalah utama biarpun belia mempunyai kemahiran dan mengikut kehendak pasaran.
Selain golongan belia di dalam bidang TVET, mereka yang mempunyai ijazah sarjana muda dan sarjana muda juga berdepan dengan masalah tangga gaji yang statik.
Sehubungan itu, pihaknya amat memerlukan sokongan daripada sektor swasta bagi mengatasi masalah tangga gaji tersebut.