KUALA TERENGGANU | Penjawat awam yang berkhidmat di sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan antara berisiko tinggi mengalami stres disebabkan tekanan kerja.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata, bebanan kerja serta masalah peribadi antara punca yang menyumbang kepada tekanan tersebut.
Menurut Azih, pihaknya memandang serius perkara itu kerana bimbang stres boleh menyebabkan kemurungan dan akhirnya mereka tidak dapat memberikan produktiviti yang baik.
“Sebagai contoh, pekerja di klinik atau hospital akan menjadi tertekan terutamanya apabila jumlah pesakit bertambah. Dia tidak tahu bila dia boleh pulang ke rumah. Baru nak balik, pesakit pula datang jadi dia kena tunggu.
“Kemudian bila sampai ke rumah, kena marah dengan suami kerana pulang lewat. Akhirnya ini akan menyebabkan stress dan kemudian keadaan murung,” jelasnya.
Tambahnya kira-kira 25 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam di negara ini mengalami tekanan kerja.
Justeru Cuepacs juga mencadangkan agar pendidikan awal psikologi turut ditekankan kepada semua peringkat penjawat awam.