IPOH | Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengeluarkan lima notis terhadap kilang pembuatan PVC Compounding di Kawasan Perindustrian Tasek hari ini.
Pengarahnya, Ir Zamzurin Maarof berkata, dua notis larangan dan tiga notis pembaikan dikeluarkan susulan laporan kemalangan maut membabitkan pekerja warganegara Nepal yang ditemui dalam bahagian ‘cooler mixer’.
“Hasil siasatan kita mendapati majikan gagal mengadakan pemeriksaan berkala pada semua peranti mesin.
“Selain itu majikan tidak mengadakan prosedur kerja selamat yang lengkap serta tidak mengadakan penaksiran risiko untuk proses pengendalian mesin PVC Compounding,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, JKKP Perak mengarahkan kerja-kerja pengendalian mesin tersebut dihentikan serta-merta.
“Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporan seorang lelaki warganegara Nepal maut selepas terjatuh ke dalam mesin penyejuk tepung di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tasek di sini hari ini.
Mangsa, Lama Kajiman, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.