Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan Melayu) diarah supaya menyelesaikan bayaran gaji Sept dan Okt kepada semua 815 kakitangannya menjelang akhir bulan ini.
Bayaran itu, kata Kementerian Sumber Manusia, perlu dibuat sekali gus kepada kakitangan yang masih berkhidmat setakat 30 Okt tahun ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan kementerian semalam, syarikat penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo! itu juga diminta membuat bayaran penuh kepada pekerja yang terlibat dalam pemberhentian melalui skim pemisahan sukarela (VSS) pada 2018.
Keputusan itu, kata kenyataan tersebut, dibuat selepas siasatan mengenai masalah dialami syarikat Utusan Melayu dibuat pegawai kementeian melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
“Hasil siasatan mendapati Utusan Melayu menghadapi kemerosotan aliran tunai sejak Mei 2018 dan mengeluarkan memorandum pekeliling pada 9 Okt 2019 memaklumkan bahawa semua operasi syarikat berkenaan akan diberhentikan berkuat kuasa pada 9 Oktober 2019,” katanya.
Pada masa sama Kementerian Sumber Manusia meminta entiti pelikuidasi interim bagi Utusan Melayu, UHY Advisory (KL) Sdn Bhd (UHY) – yang mengambil alih sepenuhnya Utusan Melayu pada 8 Okt memastikan semua pekerja yang diberhentikan menerima pampasan sewajarnya mengikut Akta Kerja 1955.
Utusan Melayu pula, kata kementerian berkenaan, perlu mengemukakan borang pemberhentian kerja dan mengeluarkan notis penamatan kepada semua pekerja yang terlibat, atau membayar gaji ganti notis.
“Pihak pekerja yang diberhentikan akan membuat tuntutan bayaran gaji di Pejabat Tenaga Kerja Kuala Lumpur dalam masa terdekat,” katanya.
Bagi memastikan nasib semua pekerja tidak terabai, katanya, Ibu Pejabat JTKSM menyarankan UHY dan Utusan Melayu bekerjasama dengan PTK Kuala Lumpur untuk menjalankan program-program membuka peluang pekerjaan dan memberi khidmat nasihat kepada para pekerja tersebut.
“Kerjasama ini termasuklah membuka booth JobsMalaysia, penglibatan Perkeso melalui penawaran Sistem Insuran Pekerjaan (SIP), penyelarasan bayaran pinjaman di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) serta penyertaan dalam Program Karnival Kerjaya yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Pihak UHY akan mengadakan sesi taklimat kepada semua pekerja pada 30 Okt, jam 3.30 petang, di Dewan Besar Utusan berhubung tindakan-tindakan yang diambil untuk membantu para pekerja yang terlibat dalam pemberhentian kerja ini,” katanya.