KUALA LUMPUR | Kementerian Sumber Manusia mencatat pelbagai kejayaan dan pencapaian membanggakan sepanjang 2019 dalam menaikkan martabat golongan pekerja dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.

Menerusi laporan Pencapaian Kementerian Sumber Manusia 2019, Menterinya, M Kula Segaran berkata, bagi memenuhi janji satu juta pekerjaan berkualiti, sebanyak 300,000 peluang pekerjaan diwujudkan pada 2018 manakala 243,000 peluang pekerjaan pula diwujudkan sehingga September tahun lepas.

“Selain itu, kementerian sedang menjalankan proses kemas kini garis panduan Tatacara Keharmonian Perusahaan (COC) dalam usaha meningkatkan martabat pekerja dan memastikan kualiti perlindungan hak pekerja di negara ini setara piawaian antarabangsa,” katanya.

Menaikkan martabat golongan pekerja dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti antara yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan berkaitan kementerian ini selain janji meningkatkan pendapatan rakyat dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk anak-anak Sabah dan Sarawak.

Menurut Kula Segaran, episod kejayaan pada 2019 itu juga turut disumbangkan hasil penganjuran Hari Bertemu Pelanggan Bersama Menteri dan Timbalan Menteri yang diadakan pada setiap hari Selasa bermula 8 pagi sehingga 10 pagi.

Jelasnya, sehingga 17 Disember lepas, sebanyak 48 sesi diadakan dengan kehadiran 2,200 pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat selain penyelesaian hampir 800 kes oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia sepanjang tempoh program dijalankan. Peratusan kes selesai adalah 100 peratus.

Menurutnya lagi, suatu identiti penjenamaan baharu iaitu SkillsMalaysia 2.0 diperkenal seiring hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan menyasarkan 60 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai jurusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan latihan kemahiran.

“Ia bagi mencapai 35 peratus pekerja berkemahiran tinggi dalam guna tenaga negara. Selain itu, ia bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan kolar baharu yang tidak hanya bergantung kepada kelayakan akademik semata-mata sebaliknya kepada kemahiran,” kata Kula Segaran.

Dalam usaha meningkatkan latihan kemahiran di Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) beliau berkata, kementerian menjalinkan kerjasama dengan negara asing antaranya National Institute of Technology, Nagaoka College, Jepun dengan Pusat Latihan Teknologi (ADTEC) Melaka untuk skop kerjasama melalui pengajaran serta pembelajaran bidang elektrik, elektronik dan mekanikal.

“Kerjasama dengan China Education Association for International Exchange bagi program pertukaran pengajar dan pelajar ILJTM dalam bidang TVET 5G, perangkaian, kecerdasan buatan, Internet of things (Internet pelbagai benda), pembuatan dan kejuruteraan landasan,” katanya.

Selain menumpukan kepada peluang pekerjaan dan kemahiran, Kula Segaran berkata, jaringan perlindungan keselamatan sosial yang ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diperluaskan kepada suami atau isteri yang bekerja dalam perusahaan milik tunggal dan perkongsian milik pasangan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) berkuat kuasa 1 Julai 2018.

Di bawah Akta 800 itu, beliau berkata, seramai 6,557,809 bilangan orang berinsurans manakala seramai 408,640 pekerja asing didaftarkan di Perkeso oleh 29,703 majikan dengan bilangan pekerja asing aktif yang dilindungi sebanyak 826,322 orang.

“Selain itu bermula 1 Februari 2019 peluasan liputan Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri (Akta 789) kepada Pemandu Bas diperkenal,” katanya. – Bernama

©