KUALA LUMPUR | Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan mempertimbang memasukkan Covid-19 dalam senarai penyakit berjangkit yang diberikan kemudahan cuti kuarantin.

Presidennya, Adnan Mat berkata kemudahan cuti kuarantin kepada ibu bapa dan penjawat awam itu perlu berikutan pengisytiharan Covid-19 sebagai pandemik dan ia perlu dimasukkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016.

Pekeliling itu memperuntukkan kemudahan cuti kuarantin untuk 6 penyakit berjangkit, iaitu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), demam denggi dan demam denggi berdarah, campak, cacar air, difteria dan malaria.

“Cuepacs juga merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja yang terlibat dalam menangani Covid-19. Diharap mereka bersabar dan terus tekun menjalankan tugas.

“Cuepacs akui akan kesusahan yang mereka lalui dan tiada sebarang rungutan diterima walaupun bertugas dalam keadaan tidak menentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia turut memohon bank mengambil inisiatif menangguhkan dan membuat penstrukturan semula bayaran balik pinjaman penjawat awam serta kakitangan syarikat yang terjejas pendapatan akibat penularan virus itu.

“Cuepacs menerima banyak keluhan pekerja dan rakyat yang hilang pendapatan sementara memandangkan banyak industri dan syarikat terjejas dan ada antara mereka serta kakitangan diberi notis cuti sementara tanpa gaji akibat Covid-19.”

Adnan berkata, pihaknya turut menyambut baik inisiatif Kementerian Kesihatan menempatkan 1,000 doktor pelatih di hospital kerajaan seluruh negara bagi membantu melancarkan operasi harian susulan penularan Covid-19.

 

©