PENULARAN Covid-19 menyaksikan satu demi satu hotel terpaksa mengambil keputusan perit dengan menghentikan operasi mereka susulan impak pandemik itu terhadap industri perhotelan negara.

Ini bermakna ribuan atau mungkin puluhan ribu pekerja hilang punca pendapatan apabila hotel atau pusat penginapan tersebut gulung tikar, malah ada mula mencongak nasib mereka yang bagaikan telur di hujung tanduk.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pekerja hotel adalah antara yang paling teruk terjejas dengan ada dipotong gaji, dipaksa bercuti tanpa gaji, dipaksa menggunakan cuti tahunan dan lebih teruk lagi terus dibuang kerja.

Beliau difahamkan lebih 30,000 orang di dalam industri perhotelan di seluruh negara hilang pekerjaan, lebih 10,000 dicutikan tanpa gaji dan lebih 6,000 pekerja dipotong gaji ekoran aktiviti perniagaan industri yang menguncup.

“Dari 18 Mac hingga 27 Mei, MTUC sendiri melalui MTUC Covid-19 Helpdesk menerima sebanyak 678 aduan kes dari sektor hotel iaitu pemotongan gaji (383 kes), pembuangan kerja (186), paksa cuti tanpa gaji (37), paksa cuti tahun (54) dan lain-lain perihal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebanyak 17 kes,” katanya.

Justeru, apa yang boleh dilakukan bagi memastikan kelangsungan kehidupan bekas pekerja hotel ini? Jawab beliau, hentikan kebergantungan terhadap pekerja asing dengan mengutamakan rakyat tempatan bagi mengisi slot kekosongan kerja di dalam negara.

Abdul Halim, yang juga Pengerusi GiatMara berkata, pekerja-pekerja hotel disarankan agar diberikan kursus kemahiran di GiatMara atau kolej kemahiran berkaitan untuk menjadi usahawan dan dapat menukar profesion.

“Kerajaan mesti mencari kaedah untuk membantu pekerja hotel dan industri yang sama bagi membantu dan melindungi modal insan negara ini…kerajaan mesti menentukan tenaga kerja negara ini mendapat kerja semula,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan harus menggubal pelan induk demi kelangsungan industri perhotelan yang terjejas teruk, dengan satu pelan jangka pendek harus merangkumi kempen menggalakkan pelancongan domestik bagi membantu merancakkan tempahan bilik hotel dan mengekalkan pekerja industri terbabit.

“Selain itu, pemilik hotel juga patut menawarkan diskaun dan faedah lain untuk menarik pelanggan manakala kerajaan pula patut menawarkan potongan bil elektrik dan air serta potongan cukai pendapatan untuk meringankan beban pemilik hotel. Bagaimanapun segala imbuhan dan keistimewaan itu dengan syarat hotel mengekalkan pekerja untuk tempoh tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia, Rusli Affandi berkata adalah lebih baik sekiranya kerajaan dapat membantu mereka yang diberhentikan kerja dengan memberikan lesen untuk berniaga secara kecil-kecilan bagi meraih pendapatan dan memulakan kehidupan baharu.

“Mereka yang begitu lama di dalam industri perhotelan agak sukar untuk menukar bidang dalam masa terdekat…dengan lesen berniaga, dapatlah mereka melunaskan pinjaman termasuk yuran anak-anak yang masih belajar dan paling penting untuk mereka mulakan hidup baharu.

“Sebelum ni merekalah duta-duta kecil yang memperkenalkan Malaysia kepada dunia melalui tanggapan pertama apabila tetamu menginap di hotel tempat mereka bertugas,” katanya sambil mengingatkan semua ahli kesatuan agar berkongsi jika ada maklumat mengenai tawaran kerja.

Beliau berkata kira-kira 400 daripada jumlah keseluruhan 8,000 ahli berdaftar terjejas dengan penutupan empat hotel iaitu tiga di Melaka dan satu di Petaling Jaya.

“Tetapi pekerja yang bukan ahli kesatuan, ramai yang kena buang kerja cuma kami tidak tahu jumlah sebenar…kami juga dapati banyak hotel yang terjejas adalah tidak mempunyai kesatuan sekerja,” katanya.

Menurut Rusli, agak sukar untuk sektor perhotelan bangkit dalam masa terdekat berikutan sekatan kawalan sempadan membabitkan tetamu antarabangsa untuk datang melawat dan kawalan rentas sempadan bagi tetamu tempatan, bakal menyaksikan lebih banyak hotel terjejas.

Sementara itu, pekerja sebuah hotel di Pulau Langkawi yang mahu dikenali sebagai Fatin Shuhada, 25, berkata dirinya diarah mengambil cuti tanpa gaji melalui aplikasi WhatsApp dan surat mengenai arahan itu hanya diperoleh selepas dua bulan bercuti tanpa gaji.

“Saya diarah bercuti tanpa gaji selagi hotel belum kembali seperti biasa…tetapi bahagian sumber manusia ada berpesan agar saya jangan meletakkan harapan tinggi kerana ada kemungkinan hotel tidak dapat bertahan.

“Buat masa ini saya tidak ada rancangan lain lagi. Saya hendak cari kerja, tetapi sangat susah hendak dapat kerja di Langkawi kerana kebanyakan sumber cari rezeki di sini adalah dalam bidang pelancongan yang mana Langkawi sedang teruk sekarang ini,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kaunter penerimaan tetamu sejak Ogos tahun lalu.

Azmar Mohd (bukan nama sebenar), 39, dari Kuala Lumpur pula diberhentikan kerja awal Mei sebagai Ketua Jabatan Transformasi di syarikat rangkaian hospitaliti yang menawarkan tempahan bilik hotel dalam talian.

“Sebenarnya, saya ada dua pilihan, sama ada mengambil cuti sementara atau pakej pemberhentian kerja. Awal bulan ini diberhentikan kerja. Syarikat terjejas akibat PKP dan Covid-19 kerana tiada yang ingin melakukan perjalanan dalam negara, ditambah tiada pelancong,” katanya.

Justeru, beliau merancang untuk mencari peluang baharu termasuk mengikuti pelbagai kursus dalam talian bagi menajamkan kemahiran sedia ada atau menambah skil baharu seperti kursus ditawarkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mereka yang menganggur.

Datuk chalet ternak ikan

Terpaksa beralih kepada bidang penternakan haiwan selepas mendapati industri pelancongan merudum teruk kesan pandemik Covid-19 yang berlaku.

Tindakan itu terpaksa dilakukan pengusaha sebuah chalet, Datuk Ruslee Hashim bagi meneruskan perniagaan selain memastikan resort dibangunkan tidak terbiar begitu saja.

Beliau berkata, industri pelancongan kian tenat ekoran pandemik Covid-19 sejak 18 Mac lalu memaksa beliau mengubah perniagaan menjual haiwan ternakan seperti ikan air tawar, lembu, rusa dan kambing kepada orang ramai.

Katanya, antara haiwan ternakan yang laris dijual ketika sambutan Aidilfitri lalu adalah rusa import, kambing dan lembu.

“Permintaan daging rusa cukup laris dan diminati pelanggan yang sering membuat tempahan secara atas talian sejak awal Ramadan lalu bagi persiapan menyambut Aidilfitri. Kami membela lebih 100 rusa yang diternak dalam kandang di sini.

“Saya jual dagingnya pada harga RM80 sekilogram kepada mereka yang berminat. Penghantaran juga turut diuruskan terus ke rumah pelanggan,” katanya.

Menurutnya, setiap haiwan dipelihara di kawasan resortnya diberi makanan berkualiti seperti palet khas dan sayuran segar setiap hari.

Katanya, dia terpaksa mencari pendapatan baru bagi menanggung kos gaji pekerja, makanan haiwan ternakan dan sewa utiliti lain yang perlu diuruskan setiap bulan.

“Saya bersyukur kerana masih ada rezeki diberikan Allah SWT walaupun menghadapi ujian wabak penyakit Covid -19 ini.

“Usaha gigih perlu diteruskan demi meneruskan kelangsungan hidup. Permintaan kambing dan lembu tempatan juga makin rancak sejak akhir Ramadan tahun ini.

“Ramai pelanggan tempatan dan dari Kuala Lumpur membeli ternakan kami dari ladang ini,” katanya.

Ruslee berkata, minatnya menternak haiwan ternyata memang berbaloi apabila menjadi punca rezeki menarik ketika ini bagi menyara keluarganya.

Katanya, mereka berdoa dan nekad membangunkan industri pelancongan semula apabila Covid-19 berakhir kelak.

 

 

©