LONDON: Royal Dutch Shell Plc akan memberhentikan sehingga 9,000 pekerja apabila kejatuhan harga minyak memaksa penjimatan kos berbilion dolar selain usaha gergasi minyak dan gas itu menyusun semula perniagaannya bagi meneroka sektor tenaga bersih.
Langkah itu mencerminkan cabaran dihadapi firma utama minyak dan gas dunia ketika pandemik COVID-19, dengan sebahagian peserta industri percaya era pertumbuhan permintaan sudah pun berakhir.
Ketika krisis menyebabkan peralihan kepada tenaga karbon rendah, syarikat minyak dunia mengurangkan pekerja, melaksanakan hapus kira berbilion dolar dan mengecilkan dividen.
Di Shell, 7,000 hingga 9,000 kehilangan pekerjaan dijangka menjelang akhir 2022, atau 11 peratus daripada tenaga kerjanya.
Jumlah itu termasuk 1,500 pekerja yang mengambil pakej pertindihan sukarela tahun ini, kata syarikat itu hari ini.
Ia menjangkakan penjimatan kos tahunan antara AS$2 bilion hingga AS$2.5 bilion menjelang tahun itu.
“Kami perlu menjadi organisasi lebih ringkas, seragam dan kompetitif,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shell, Ben van Beurden dalam satu kenyataan.
“Di beberapa tempat, kami mempunyai terlalu banyak lapisan dalam syarikat, terlalu banyak peringkat antara saya, sebagai CEO, dan pengendali serta juruteknik di beberapa lokasi.”
-Bloomberg
© New Straits Times Press (M) Bhd