KUALA LUMPUR | Tidak munasabah bagi majikan memberikan gaji dan elaun penuh kepada pekerja yang perlu bekerja dari rumah, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) susulan arahan tersebut buat mereka yang tinggal di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata ini kerana produktiviti pasti terjejas apabila kakitangan bekerja dari rumah.

Malah banyak syarikat yang masih berdepan masalah aliran tunai yang dihadapi syarikat berikutan wabak Covid-19, katanya lagi.

“Untuk mengarahkan majikan membayar gaji dan elaun penuh adalah tidak munasabah dan tidak mengikut konsep ‘ada kerja ada gaji, tiada kerja tiada gaji’.

“Kita (majikan) memang tak paksa perkeja ambil cuti tahunan.

“Tetapi kalau pekerja enggan ambil cuti tahunan dan mengharapkan gaji penuh dibayar di saat mereka duduk di rumah dan tiada kerja untuk dilakukan, apa asas untuk arahan seumpama ini diberikan?” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang mengingatkan majikan tidak boleh memaksa dan mengarahkan pekerja menggunakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji bagi arahan bekerja dari rumah ketika PKPB.

Saravanan juga berkata majikan perlu membayar gaji seperti biasa walaupun selepas arahan itu.

Shamsuddin berkata, walaupun cuti tahunan atau cuti tanpa gaji tidak boleh dipaksa ke atas pekerja, semua pihak perlu faham bahawa bukan semua kerja boleh dibuat di rumah.

Dia berkata, menggunakan cuti tahunan atau cuti tanpa gaji bukanlah satu paksaan tetapi ia perlu difahami bahawa tidak semua pekerjaan boleh dilakukan dari rumah.

Tetapi ia satu alternatif ketika syarikat berdepan risiko pekerja tidak dibayar gaji apabila produktiviti berkurang, atau tiada kerja untuk dilakukan, katanya.

“Kalau mereka tidak mahu ambil cuti tahunan, jadi kita terpaksa beri mereka tak ada gaji,” katanya.

‘Ada kerja tak boleh dibuat di rumah’

Terdahulu, kaji selidik oleh firma penyelidikan pengguna dalam talian Vase.ai, mendapati sebilangan besar rakyat Malaysia – iaitu 77 peratus – mengaku berdepan kesukaran untuk bekerja dari rumah semasa tempoh PKP yang bermula 18 Mac lalu, dengan antara sebab utama adalah sambungan internet yang tidak stabil.

Antara sebab utama lain adalah cabaran berkomunikasi dengan pekerja atau ahli pasukan secara dalam talian (31 peratus), dan kesulitan mengakses data yang diperlukan dari pangkalan data pejabat (28 peratus).

Mengulas lanjut mengenai soal produktiviti mereka yang bekerja dari rumah, Shamsuddin berkata arahan yang diberi ketika bekerja di pejabat berbeza daripada ketika bekerja dari rumah.

“Bukan senang kita nak membuat satu keputusan tanpa melihat apa sebenarnya terjadi di tempat bekerja berkenaan,” katanya lagi sambil memberi contoh jawatan pengurus pengeluaran yang perlu berada di pejabat untuk membuat pemantauan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lepas berkata pekerja di peringkat pengurusan dan pengawasan dalam sektor awam dan swasta di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah diarah bekerja dari rumah berkuat kuasa 22 Okt untuk mengurangkan pergerakan pekerja di tengah-tengah penularan Covid-19.

PKPB dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 14 Okt sehingga 27 Okt, manakala PKPB di Sabah pula dari 13 hingga 26 Okt.

 

 

©