KUALA LUMPUR | Mahkamah Buruh di Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, dalam satu keputusan yang dibuat pada hari ini, memerintahkan syarikat HL Hub Li Engineering Works untuk membayar sebanyak RM22,000 kepada bekas pekerjanya Sarkunum Veloo sebagai penyelesaian untuk pampasan pembuangan kerja.
Sarkunum ialah seorang operator mesin yang mengalami kemalangan di tempat kerja. Jari tengah tangan kanannya patah semasa dia membersihkan mesin. Habuk besi menyebabkan luka sehingga dia kehilangan separuh jari tengah. Sarkunum telah kembali ke tempat kerjanya selepas tamat tempoh cuti sakitnya dan menuntut untuk kerja ringan.
Akan tetapi, pihak syarikat sengaja sambil lewa dalam melayani permintaan Sarkunum dan menawarkannya kerja pemandu lori sebagai “kerja ringan” dengan gajinya dikurangkan. Sarkunum tidak bersetuju dengan tawaran tersebut dan menuntut kerja ringan sepertimana yang disarankan oleh PERKESO.
Setelah proses surat-menyurat antara Sarkunum dan pihak syarikat yang berlarutan selama lebih setahun, akhirnya Sarkunum menganggap dirinya diberhentikan kerja mulai bulan Julai 2020 dan memfailkan tuntutan faedah pemberhentian kerja di Jabatan Tenaga Kerja Kuala Lumpur atas sebab pemberhentian terancang oleh pihak majikan.
Perbicaraan penuh untuk kes tuntutan Sarkunum telah diadakan pada 3 November 2020.
Mahkamah Buruh kemudiannya membuat keputusan dengan memerintahkan bayaran sebanyak RM22,000 kepada Sarkunum.