KAMPAR | Kotor, sempit dan bersesak-sesak. Itu keadaan rumah kongsi yang dihuni kira-kira 300 pekerja binaan di Bandar Baru Kampar di sini, ketika diperiksa dalam Operasi Bersepadu Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Perak hari ini.
Pemeriksaan itu mendapati 30 unit rumah yang menjadi tempat penginapan pekerja berada dalam keadaan sangat daif dan tidak teratur.
Didapati setiap unit hanya dipisahkan kepada beberapa ruang menggunakan papan lapis bagi mengasingkan bilik tidur dan dapur.
Difahamkan, tempat penginapan itu sudah dihuni kira-kira tiga tahun lalu dan setiap satunya menempatkan antara empat hingga enam pekerja warga asing yang bekerja di tapak pembinaan di kawasan berhampiran.
Di hadapan rumah kongsi yang berhampiran sungai itu pula menempatkan bilik air dan tandas yang antaranya tidak berpintu untuk digunakan penghuni.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata, operasi hari ini memberi tumpuan kepada penginapan pekerja yang disediakan oleh pihak majikan terhadap pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Perumahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pihak majikan tidak memohon perakuan penginapan daripada Ketua Pengarah JTKSM.
“Masuk sahaja ke tapak penginapan ini, kita sudah nampak keadaan kawasan yang sangat daif, sesak, padat, sempit dan kotor, majikan sepatutnya menyediakan keperluan asas antaranya katil, tilam, bantal dan selimut yang tidak dikongsi dengan pekerja lain.
“Kita lihat ada yang tidak ada katil, sebahagiannya tidak menyediakan tilam hingga ada yang tidur atas papan sahaja,” katanya yang turut menyertai operasi berkenaan.
Hadir sama Timbalan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak Mohamed Meskhan Alpiah dan Ketua Penguat Kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Perak Faizal Kamal Abu Bakar.
Operasi bersepadu itu turut disertai oleh beberapa agensi iaitu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), CIDB, Perkeso, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Muhamad Fauzi berkata, pemeriksaan di satu lagi penginapan di taman berhampiran juga didapati tidak mematuhi peraturan apabila menempatkan seramai lebih 10 pekerja selain ruang tamu turut dijadikan tempat tidur.
Menurutnya, menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 24D(1) Akta 446 iaitu jika majikan gagal mendapat perakuan penginapan pekerja dan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
“Pihak jabatan akan memanggil pihak majikan ke pejabat untuk mengambil keterangan lanjut dan dirakam percakapan bagi menyiasat kesalahan itu,” katanya.