SHAH ALAM | Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan sebuah tapak pembinaan di Sepang dekat sini pada Jumaat kerana tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di bawah Ordinan Darurat pindaan 2021.
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, tindakan tersebut dibuat susulan operasi bersepadu, Op Pindah yang dijalankan JTK Selangor bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di tapak berkenaan.
Menurut kenyataan itu, hasil siasatan pihaknya mendapati tapak pembinaan berkenaan telah menggajikan 343 pekerja asing dikategorikan sebagai person under investigation (PUI), yang dibiarkan mendiami penginapan sesak tanpa kemudahan asas disediakan kepada pekerja.
“Selain itu, penginapan yang disediakan tidak mendapat sebarang perakuan penginapan dari JTK dan sehingga kini mereka gagal membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan tersebut.
“Tindakan undang-undang melalui Akta 446 di bawah Ordinan Darurat pindaan 2021 telah diambil terhadap majikan terlibat bagi memastikan usaha kerajaan membendung penularan Covid-19 dapat dijayakan selain memastikan pematuhan kepada akta ini yang telah dikuatkuasakan,” menurut kenyataan tersebut.
JTK juga telah mengeluarkan arahan Ketua Pengarah Tenaga Kerja iaitu mengarahkan majikan berkenaan memindahkan pekerja ke penginapan sementara yang bersesuaian dalam tempoh 48 jam dari tarikh dan masa arahan itu dikeluarkan.
“Majikan telah memberikan kerjasama yang baik dengan melakukan pemindahan serta-merta pekerja mereka ke penginapan sementara yang dipilih sendiri oleh majikan atas kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui PKD Sepang,” menurut kenyataan itu. – Bernama