KUALA LUMPUR | Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pihak industri yang gagal melaksanakan pengurusan bahan buangan mengikut peraturan ditetapkan.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pindaan akta itu disifatkan penting bagi memberi pengajaran buat pihak pengurusan yang gagal melabur atau mengambil langkah untuk melaksanakan pengurusan persekitaran betul serta sistem pembuangan sampah yang dapat mengurangkan risiko terhadap alam sekitar.

“FMM melihat ada keperluan untuk meminda akta berkenaan sebagai mesej penting bahawa alam sekitar perlu dijaga,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kegiatan ejen haram pelupusan sisa buangan berjadual seperti bahan pelarut dan sisa kimia yang dikesan menjadi dalang kes pencemaran sumber air di Lembah Klang.

Mereka juga dikesan menggubah modus operandi, yang mana jika sebelum ini sisa dibuang terus di tempat terbuka seperti tepi sungai kepada cara lebih tertutup dan sukar dikesan.

Pada masa sama, Thian Lai berkata, pihaknya menentang kegiatan pembuangan sisa berjadual ke dalam sumber air secara haram menggunakan kontraktor sisa berjadual yang tidak dibenarkan atau tidak berdaftar.

Katanya, sebagai persatuan industri yang bertanggungjawab, FMM kerap menasihati anggotanya untuk mematuhi peraturan dan perundangan pihak berkuasa membabitkan aspek terbabit.

“FMM mengecam tindakan tidak bertanggungjawab semua pihak, sama ada premis haram atau sah, yang mengakibatkan kesulitan kepada industri dan orang awam.

“Seperti yang kita ketahui, 2020 adalah tahun yang kerap dilanda gangguan air sekali gus menjejaskan akaun kediaman dan industri disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Beliau berkata, penting untuk pemilik kilang melabur dalam sistem pengurusan sisa yang dibenarkan selain mempunyai tenaga kerja yang kompeten untuk memastikan bahawa operasi mereka dikendalikan dengan cara yang mesra alam sekitar.

Katanya, selain itu, FMM berharap Kementerian Alam Sekitar dan Air serta agensi berkaitan terus bekerjasama dengan industri dalam menangani masalah ini secara holistik.

“Ini termasuk mengkaji prosedur untuk memberikan lesen operasi oleh pihak berkuasa tempatan serta meningkatkan pemeriksaan di kawasan panas yang dikenal pasti dan menangani masalah kelompangan bidang kuasa,” katanya.

 

 

©