SANDAKAN | Rakyat Sabah mahu gaji minima yang ditetapkan kerajaan sebelum ini ditambah ekoran peningkatan kos kehidupan ketika ini.
Mereka berpendapat gaji minima RM1,200 masih gagal menampung kehidupan harian dan ia tidak dapat bertahan untuk tempoh sebulan.
Antara yang melontar pendapat itu seorang anak muda berusia 21 tahun dan bekerja sebagai pembantu di sebuah pusat karaoke keluarga di Sandakan.
Katanya, dia yang belum berkahwin turut resah kerana pendapatannya ketika ini masih rendah.
“Saya sebagai seorang yang bujang, gaji minima ini masih agak kurang kerana harus fikir komitmen lain.
“Ketika ini saya tinggal bersama nenek jadi saya harus fikir perbelanjaan rumah bagi nenek dan ibu bapa saya selain adik-beradik.
“Walapun saya belum lagi memiliki kereta, saya perlu fikirkan kos ulang-alik ke tempat kerja, kadang-kadang perlu balik lewat jadi caj menjadi menjadi lebih mahal,” kata Mohd Nazri Hagis.
Menurutnya juga, gaji RM1,200 yang diterima kebiasaanya hanya bertahan dalam tempoh dua minggu.
“Kalau ikutkan dalam dua minggu sahaja mampu bertahan, kira tidak cukuplah.
“Sebab kalau ikut gaji RM1,200 ini tidak dapat menampung kos barang yang semakin mahal, kira gaji RM1,200 itu tidak menjamin,” tambahnya.
Sementara itu, seorang penyelia pengawal keselamatan yang juga seorang bapa kepada empat anak, turut meluahkan keresahan kerana gaji minima yang diperolehi setiap bulan tidak mencukupi bagi menampung keperluan kehidupan berkeluarga.
“Perbelanjaan untuk kami sekeluarga memang tidak mencukupi. Selepas ditolak segala komitmen yang ada, hanya tinggal RM400 dalam tangan.
“RM400 itu mungkin boleh bertahan dalam setengah bulan sahaja,” kata Mohammad Jaimi Jamil.
Jaimi mencadangkan agar gaji minima dapat ditambah kepada RM1,500.
Sementara itu, seorang pekerja pembersihan mengakui gaji minima ketika ini masih rendah.
Tetapi, Baing Kamlan menyerahkan sepenuhnya kebijaksanaan kerajaan menetapkan gaji minima yang dirasakan sesuai demi menolong rakyat yang berdepan pelbagai kesusahan ketika ini.
“Kalau dikira memang tidak cukup kerana kita mempunyai anak-anak. Saya serahkan kepada kerajaan untuk tentukan bagi menolong rakyat,” katanya.
Terdahulu, pada Sabtu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kadar gaji minima pekerja sedang dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosio-ekonomi semasa, dalam ucapannya sempena Hari Pekerja 2021
Beliau menjelaskan ia merupakan antara usaha yang diambil kerajaan melalui tiga strategi utama bagi membantu golongan pekerja yang berdepan kesukaran ketika wabak COVID-19.