Akta Kerja (Pindaan) 2022 akan berkuat kuasa mulai 1 September ini, menurut Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Bercakap dengan Malaysiakini, Saravanan berkata kementeriannya kini sedang memastikan perubahan dalam Jadual Pertama akta itu dinyatakan secara cermat dan teliti agar tidak mengelirukan, berhubung kategori pekerja yang tertakluk dalam akta ini.

Antara pindaan utama yang diluluskan ketika sesi Parlimen Mac lalu termasuk lanjutan cuti bersalin dari 60 hari kepada 98 hari, sekatan terhadap pemberhentian pekerja yang mengandung serta pengenalan cuti bersalin buat pekerja lelaki yang telah berkahwin.

Salah satu pindaan mungkin akan memadamkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara dengan jam kerja mingguan tertinggi di dunia.

Apabila pindaan ini berkuat kuasa, jam kerja mingguan maksimum dijangka berkurang daripada 48 jam kepada 45 jam.

Sejak pindaan diluluskan di Parlimen, ia menerima perkenan Agong pada 26 April dan diwartakan pada 10 Mei lalu.

Selain itu, pada 1 September ini, Saravanan juga akan mengeluarkan arahan untuk meminda perubahan dalam Jadual Pertama.

Pada masa ini, kategori pekerja dalam Jadual Pertama adalah mereka yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah, pekerja tanpa gaji tetap seperti buruh dan juga pekerja yang mengendalikan kenderaan bermotor serta pekerja domestik.

Namun, Saravanan mengesahkan sekatan yang dikenakan terhadap pekerja domestik dalam jadual itu akan kekal, tanpa sebarang petanda ia akan dipinda pada masa akan datang.

Akta ini menafikan hak asas terhadap pekerja domestik yang dinikmati pekerja lain, seperti cuti bersalin, satu hari rehat dalam seminggu, cuti dan jam kerja.

 

 

 

©malaysiakini logo