PUTRAJAYA | Akta Kerja 1955 (pindaan) 2022 yang ditangguhkan pelaksanaannya sebelum ini akan mula berkuat kuasa mulai 1 Jan 2023, kata Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.
Katanya, penguatkuasaan mulai tahun depan perlu dilaksanakan walaupun pihak industri meminta supaya tempoh penangguhan pelaksanaannya dilanjutkan.
“Saya rasa perkara ini harus kita teruskan sebab undang-undang ini telah diluluskan di Parlimen dan sebahagian besarnya daripada pindaan ini adalah berdasarkan kepada Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan ia adalah sebagai jaminan kepada pekerja,” katanya dalam sidang media di kementeriannya.
Pada 26 Ogos lalu kerajaan memutuskan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955 yang sepatutnya mula berkuat kuasa 1 Sept, ditangguhkan dan dilaksanakan tahun depan.
Menteri sumber manusia ketika itu M Saravanan berkata, penangguhan itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, selepas pihak industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor.
Mengulas lanjut, Sivakumar berkata bawah Akta Kerja 1955 yang dipinda mewajibkan keperluan mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada ketua pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bawah Seksyen 60K(4).
“Kelulusan penggajian ini adalah untuk penggajian semua kategori pekerja asing di negara ini. Kewajaran untuk majikan mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada ketua pengarah JTKSM adalah kerana permohonan yang ditolak sebelum ini adalah kegagalan majikan mematuhi undang-undang perburuhan.
“Seksyen 60K(4) Akta Kerja 1955 akan bertindak sebagai saringan awal yang efektif dalam memastikan majikan bakal menggajikan pekerja asing di negara ini mempunyai rekod bersih dari aspek kepatuhan kepada standard perburuhan,” katanya.
Sivakumar berkata, imej dan kredibiliti negara tercemar dengan isu buruh paksa di mana produk syarikat tempatan berkaitan sarung tangan getah dan kelapa sawit telah disekat daripada dipasarkan di Amerika Syarikat oleh pihak berkuasa negara itu dan dengan pelaksanaan undang-undang berkenaan isu tersebut dapat dibendung.
Sementara itu, Sivakumar memberitahu JTKSM dengan kerjasama polis berjaya menyelamatkan 12 wanita Indonesia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh satu agensi pekerjaan swasta di Klang baru-baru ini.
“Siasatan turut mendapati wujudnya indikator buruh paksa dan pemerdagangan orang seperti mengurung, menyekat kebebasan bergerak dan menghalang akses untuk komunikasi dengan orang luar,” katanya.
Mengulas isu kekurangan pekerja asing, Sivakumar memaklumkan, sehingga kini kerajaan meluluskan 700,000 permohonan bagi menampung kekurangan tenaga kerja sektor tertentu dalam negara.
Katanya, kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri akan melihat dan menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja dalam masa terdekat.