Kuala Lumpur: Lima daripada sembilan pekerja asing yang terbabit dalam runtuhan tapak pembinaan di Batu Maung, dekat Bayan Lepas, Pulau Pinang tidak mempunyai rekod caruman dan pendaftaran dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Mengikut Perkeso, kegagalan majikan mendaftar dan membayar caruman pekerja asing itu jelas melanggar Seksyen 6, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Justeru, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, menegaskan bahawa pihaknya menerusi Perkeso akan mengambil tindakan perundangan terhadap majikan yang bertanggungjawab menggaji pekerja asing di tapak projek pembinaan gudang logistik itu.
“Kegagalan mendaftarkan dan mencarum pekerja asing boleh didakwa mengikut Seksyen 94, Akta 4 yang membawa hukuman denda RM10,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang culas mendaftar dan membayar caruman pekerja asing, sekali gus menafikan hak perlindungan sosial mereka,” katanya, hari ini.
Semua pekerja asing, termasuk yang berkhidmat sebagai buruh di sektor pembinaan diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan Perkeso, berkuat kuasa sepenuhnya 1 Januari 2020.
Hasil semakan kementerian terhadap empat pekerja asing, masing-masing dua yang maut dan dua mengalami cedera parah dalam kejadian menyayat hati semalam didapati mempunyai rekod pendaftaran dengan Perkeso, tetapi tiada caruman sejak diambil bekerja antara 2020 hingga Julai lalu.
Menurut Perkeso, seorang lagi pekerja asing yang maut tidak mempunyai rekod pendaftaran dan caruman dengan pihaknya.
Sehingga kini, kementerian menerusi Perkeso masih giat menjalankan semakan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia serta agensi berkaitan, mengenai empat lagi pekerja asing yang dilaporkan tertimbus di bawah serpihan runtuhan di lokasi kejadian.
Berdasarkan perangkaan setakat 31 Oktober lalu, Sivakumar berkata, lebih 1.88 juta pekerja asing dilindungi menerusi Skim Perlindungan Bencana Kerja mengikut Akta 4, dengan 4,566 insiden kemalangan membabitkan pekerja asing dilaporkan ke Perkeso.
“Bagaimanapun, jumlah liputan caruman bagi pekerja asing berbanding kemasukan tenaga buruh luar ke Malaysia menunjukkan masih ada segelintir majikan yang ingkar dalam mematuhi peruntukan Akta 4,” katanya.