DUA tahun kerja tanpa menerima satu sen gaji.
Itu nasib malang diibaratkan seperti ‘hamba abdi moden’ yang terpaksa dilalui wanita warga Indonesia berusia 26 tahun selepas berkerja sebagai amah di sebuah rumah di Kampung Berjaya, Alor Setar.
Penderitaannya bagaimanapun berakhir semalam apabila diselamatkan Jabatan Tenaga Buruh (JTK) dalam operasi khas dilakukan 11.50 pagi.
Dalam operasi berkenaan, pasangan anak beranak (ibu dan anak) yang merupakan majikan mangsa berjaya ditahan.
Pengarah JTK Kedah, Arzanil Bahadon berkata, mangsa diselamatkan hasil maklumat awam yang dilaporkan kepada Pasukan Petugas Khas Pejabat Strategik Majlis Anti Pemerdagangan Orang (TF MAPO).
“Ketika serbuan dilakukan JTK bersama TF MAPO, suspek berusia 57 (ibu) dan 27 tahun (anak) berada di tingkat atas rumah berkenaan sedang tidur manakala mangsa sedang memangku bayi.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah tidak dibayar gaji lebih dua tahun selain pasport turut dipegang majikannya.
“Mangsa juga mendakwa tidak disediakan tempat tidur yang selesa dan terpaksa tidur di atas lantai.
“Buat masa sekarang kita masih menyiasat adakah mangsa didera dan sebagainya. Kita akan dapatkan perintah mahkamah untuk memberi perlindungan kepada mangsa,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JTK Kedah, di Alor Setar, hari ini.
Arzanil berkata, wanita terbabit dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang selain disyaki ditipu ejen kerana tidak mempunyai permit kerja.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.
“Dalam operasi semalam, JTK turut merampas pasport milik mangsa, perakam dan penyokong kamera litar tertutup (CCTV) serta kad pengenalan kedua-dua suspek untuk tindakan lanjut.
“Kami menasihatkan majikan supaya tidak culas membayar gaji pekerja setiap bulan selain menggaji pekerja dengan kadar yang ditetapkan,” katanya.