Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan memperkenalkan Peraturan Kerja Kecemasan bagi melindungi pekerja yang tidak dilindungi dalam Pakej Prihatin perusahaan kecil dan sederhana (PKS) semalam.
Kata Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, meskipun dalam pengumuman oleh perdana menteri semalam, majikan yang menerima subisidi upah tidak dibenarkan membuang pekerja dalam tempoh enam bulan, ia hanya tertakluk kepada pekerja yang bergaji bawah RM4,000 sebulan.
Sementara bagi pekerja yang bergaji RM4,000 hingga RM8,000 sebulan pula, mereka masih terdedah dengan risiko pemecatan atau pemotongan gaji oleh majikan, sedangkan mereka merangkumi 30 hingga 40 peratus tenaga kerja PKS.
“MTUC menggesa kerajaan memastikan skim subsidi upah tidak mengetepikan pekerja-pekerja ini.
“Tindakan segera untuk menyelesaikan hal ini, adalah (dicadangkan) kerajaan haruslah memperkenalkan Peraturan Kerja Kecemasan bagi tidak membenarkan pemberhentian kerja dibuat (oleh majikan) untuk satu tempoh waktu yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Solomon, pekerja golongan ini tersepit memandangkan jumlah pendapatan mereka tidak melayakkan mereka digolong dalam kategori B40.
Namun, memandangkan mereka rata-ratanya hidup di pusat bandar yang mempunyai kos sara hidup yang lebih tinggi seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, dan Pulau Pinang, gaji mereka hanya cukup-cukup makan sahaja untuk menampung keperluan keluarga.
“Pemotongan gaji atau kehilangan gaji, akan menjadi satu malapetaka buat mereka, dalam apa-apa segi pun,” tambahnya lagi.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Prihatin PKS (Tambahan) bernilai RM10 bilion khusus buat PKS yang dikatakan dapat menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.
Antaranya ia melibatkan kenaikan peruntukan sebanyak RM7.9 bilion bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac, dari RM5.9 bilion menjadi RM13.8 bilion.
Di bawah inisiatif itu, syarikat akan menerima subsidi upah bagi setiap pekerja yang dikekalkan- berjumlah di antara RM600, RM800 dan RM1,200 bagi setiap pekerja- tertakluk pada jumlah pekerja di syarikat berkenaan.
Untuk menerima bantuan itu, majikan disyaratkan mengekalkan pekerja sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan, iaitu dalam tempoh tiga bulan semasa menerima subsidi upah dan tiga bulan selepas itu.
Bagaimanapun, ia hanya tertakluk kepada syarikat dengan pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah sahaja.
300 aduan pekerja ‘dipujuk’
Mengulas lanjut, tambah Solomon, setakat ini, MTUC telah menerima 300 aduan dari pekerja Malaysia yang “dipujuk” untuk mengambil cuti tanpa gaji atau menerima potongan gaji, manakala pekerja yang tamat kontrak tidak disambung perkhidmatan.
Apa yang berlaku itu, tambahnya, tidak mengendahkan amaran kerajaan agar majikan tidak membuang pekerja atau memotong gaji mereka dalam tempoh PKP, justeru MTUC menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi melindungi kelangsungan hidup pekerja sektor swasta.
“Semua ini terjadi hanya setelah tiga minggu penguatkuasaan PKP.
“[…] Kami percaya ini hanyalah sedikit daripada jumlah sebenar, dan ia akan meningkat lagi,” katanya.
Malah, kata Solomon lagi, ada majikan PKS yang enggan mendedahkan penyata kewangan mereka bagi menunjukkan seolah-olah perniagaan mereka merosot, sekali gus untuk menghalalkan tindakan memotong gaji atau membuang pekerja.
“Ini boleh ditafsirkan sebagai sesetengah PKS cuba mengaut keuntungan secara salah dengan menipu dalam meminta bantuan atau subsidi yang diberikan kerajaan,” tambahnya.
Oleh hal yang demikian, MTUC turut menggesa kerajaan menarik balik kebenaran untuk majikan membuat rundingan dengan pekerja berhubung kontrak pekerjaan dalam tempoh PKP- termasuk pilihan pemotongan gaji dan pemberian cuti tanpa gaji- seperti yang diumumkan semalam
Katanya, meskipun perkara itu perlu dipersetujui kedua-dua belah pihak, ia adalah “satu hal yang diketahui” bahawa majikan memiliki lebih banyak taktik untuk memaksa pekerja akur dengan pilihan mereka, termasuk ancaman pemberhentian kerja atau VSS.
“Pekerja tidak sepatutnya menjadi sasaran mudah untuk mengurangkan kos sementara majikan mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan dalam waktu-waktu yang sukar, sementara (mereka) memberikan gaji yang rendah buat pekerja dalam waktu-waktu yang senang,” tambahnya.
Katanya lagi, dengan pelbagai bantuan daripada kerajaan, tanggungjawab PKS kini adalah memastikan perniagaan mereka bertahan dan dapat melindungi kerja kakitangan mereka, dan jika ada dakwaan bahawa mereka tidak mampu membayar gaji, ia boleh ditafsir sebagai penipuan.
“Jika ada sebarang kekurangan, mereka patut gunakan sebahagian daripada pelbagai pakej kewangan oleh kerajaan untuk menampung pekerja mereka, berhenti asyik bagi alasan untuk berhentikan atau potong gaji pekerja,” katanya lagi.