JASIN – Seorang pekerja kilang warga Bangladesh maut selepas terjatuh ke dalam sebuah tangki kumbahan minyak sawit di kilang memproses kelapa sawit di Rim di sini, dalam kejadian kira-kira jam 11.24 pagi, hari ini.

Pekerja yang dikenali sebagai Md Abdul Manan Molla, 39, itu dipercayai terjatuh ke dalam tangki yang mengandungi minyak panas ketika berada di atas bumbung bangunan pada ketinggian 4.5 meter bersama dua lagi rakan sekerja untuk melakukan pemasangan paip bomba di kilang berkenaan.

Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Rli berkata, mangsa yang tidak memakai sebarang pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) tergelincir lalu terjatuh ke dalam tangki dengan kepanasan suhu kira-kira 60 darjah celcius itu.

Mangsa ditemui terjatuh dalam terjatuh ke dalam tangki kumbahan minyak sawit di sebuah kilang di Rim pagi tadi
“Bomba mengambil masa hampir tiga jam untuk mengeluarkan mayat mangsa dari dalam tangki dan dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Kita menggunakan ‘escavator’ untuk mengangkat mayat dan dilakukan dengan berhati-hati agar tidak memberi kesan pada mayat mangsa kerana bimbang mayat terkesan pada suhu yang panas,” katanya.

Tambah beliau, mayat mangsa ditemui pada jam 2.45 petang sebelum kerja-kerja mengeluarkan mayat dilakukan selepas mengesan kedudukannya di dasar tangki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan mengesahkan kejadian itu dan pihaknya menerima panggilan daripada penyelia kilang yang memaklumkan insiden berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) akibat tergelincir dan terjatuh siasatan juga mendapati tiada unsur khianat atau jenayah,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/100968/BERITA/Tragedi/Warga-Bangladesh-maut-terjatuh-dalam-tangki-minyak-panas
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf