PUTRAJAYA | Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri semalam telah membincangkan maklumbalas dan situasi terkini pandemik COVID-19. Sebagai langkah preemptive untuk membendung penularan COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpandangan terdapat keperluan mendesak untuk memperketatkan SOP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu dengan menghadkan pergerakan orang ramai terutamanya di Negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang mempunyai jumlah penduduk yang padat dan merupakan antara hab perindustrian utama negara. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memandang serius gesaan KKM yang menasihati orang ramai untuk terus berada di rumah supaya kita dapat flatten the curve dalam masa terdekat.
Sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, keseimbangan di antara perlindungan kesihatan awam dan kelangsungan aktiviti ekonomi adalah penting untuk dicapai.
Berdasarkan sistem pangkalan data MITI COVID-19 Intelligent Management System (CIMS), jumlah pekerja yang berdaftar dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya adalah seramai 3.1 juta orang. Mengambil tanggungjawab bersama untuk melindungi kesihatan rakyat dan pekerja, MITI akan segera melaksanakan keputusan MKN supaya pihak industri memperkenalkan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) atau Work From Home (WFH) bagi kakitangan pengurusan dan penyeliaan sebagai langkah untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan pandemik COVID-19 terutamanya di kawasan yang sedang menjalani PKPB.
Daripada jumlah pekerja di atas, maklumbalas yang diterima daripada industri, seramai 776,135 orang pekerja atau 25 peratus adalah pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan. Kumpulan ini diwajibkan untuk menjalani BDR bermula 22 Oktober 2020 selaras dengan keputusan MKN.
Walau bagaimanapun, mengambilkira keperluan pihak industri yang memerlukan kehadiran sebilangan kecil pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan, MITI bersetuju untuk membenarkan maksimum 10 peratus pekerja merangkumi antaranya tugasan yang melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT untuk berada di pejabat yang dihadkan selama 4 jam sahaja bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang untuk 3 hari seminggu.
Syarikat-syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan ini. Majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB. Majikan perlu menetapkan garis panduan BDR yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing.
Kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak swasta dan industri dalam usaha untuk mempertingkatkan pelaksanaan BDR sebagai norma baharu selari dengan kecanggihan teknologi terkini dan aplikasi atas talian. MITI akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan SOP di kalangan pihak industri.