CHUKAI| Kerajaan tidak akan membuat ‘pusingan U’ atau menarik balik pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 walaupun terdapat pelbagai cadangan dan rayuan.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kadar gaji baharu berkenaan akan tetap dilaksanakan pada 1 Mei ini.

Katanya perincian lengkap mengenainya akan diumumkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan tidak lama lagi.

“Walaupun terdapat pelbagai cadangan, rayuan dan sebagainya saya ingin memberi jaminan hari ini kepada pekerja bahawa penetapan gaji minima untuk dilaksanakan kepada 1 Mei akan diteruskan.

“Kita tidak akan menarik balik dan sebagainya tidak akan ada ‘U turn’ dan sebagainya akan diteruskan cuma perinciannya akan diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Pampasan Bekas Pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Kemaman di sini pada Ahad.

Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan 1 Mei adalah hari pelaksanaan gaji minimum sebagai penghargaan kepada golongan pekerja.

Sementara itu Ismail Sabri berkata kerajaan akan meminda peruntukan bagi membolehkan guru gred DG 48 ke atas yang tidak terlibat dalam pentadbiran dibenarkan aktif dalam kesatuan.

Katanya pihaknya telah berhubung dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali supaya perkara itu dipinda semula.

 

© Awani