KUALA LUMPUR | Cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 9 Sept adalah antara lima cuti umum yang wajib diberikan kepada pekerja.
Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan hari ini menyebut bahawa perkara itu ditetapkan mengikut seksyen 60D(1)(a)(ii) Akta Kerja 1955 dan tidak boleh digantikan kepada tarikh lain.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya majikan dan pekerja sektor swasta berkaitan cuti am sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas dan Hari Keputeraan Baginda pada 9 Sept ini.
Kementerian itu memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan 30 Julai sebagai hari kelepasan am tambahan sempena majlis pertabalan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, dan cuti itu diisytiharkan di bawah seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Cuti ini adalah cuti umum yang diperuntukkan kepada pekerja swasta menurut seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955. Berdasarkan peruntukan ini, majikan boleh menggantikan cuti umum kepada pekerjanya. Dalam hubungan itu, majikan dikehendaki memberitahu pekerjanya sama ada majikan memilih tarikh 30 Julai 2019 sebagai cuti umum atau menggantikan ke tarikh lain dalam tahun ini juga,” katanya.
Menurut kenyataan itu, sekiranya tiada penggantian dibuat, pekerja yang bekerja pada tarikh itu hendaklah dibayar kadar gaji cuti umum — BERNAMA