KERAJAAN dijangka dapat menjimatkan beban kewangan sehingga RM5 bilion setahun jika melaksanakan opsyen lantikan tidak tetap (tidak berpencen atau kontrak) kepada penjawat awam baharu pada masa akan datang.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah berkata, buat masa ini, kerajaan menanggung beban sehingga RM28 bilion setahun bagi bayaran pencen kepada pesara kerajaan.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibentangkan dalam kertas awalan kepada Jemaah Menteri namun ia belum dimuktamadkan sebaliknya Jawatankuasa Khas Pembaharuan Perkhidmatan Awam meminta supaya cadangan itu diperbaiki termasuk memurnikan idea berkenaan.

“Jika ia berjalan lancar dan dipersetujui, insyaAllah opsyen berkenaan akan ditawarkan kepada penjawat awam sedia ada menerusi pengambilan baharu penjawat awam tahun hadapan bergantung kepada keputusan kerajaan.

“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kita untuk memastikan kerajaan kurang dibebani dengan bayaran pencen yang tinggi setiap tahun,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam 2019 di Putrajaya hari ini.

Katanya, seiring dengan pelaksanaan opsyen kontrak itu, pihaknya juga melihat kemungkinan untuk menawarkan pelbagai insentif, gaji lebih baik dan perlindungan kebajikan kepada lantikan baharu penjawat awam yang dilantik menerusi opsyen berkenaan.

Borhan berkata, ia bagi membolehkan penjawat awam yang menerima tawaran kerja opsyen kontrak berasa lebih terjamin dan tidaklah mereka ingin menamatkan perkhidmatan lebih awal.

“Mungkin ada bentuk perkhidmatan atau perkhidmatan tertentu saja yang akan kita lantik tetap, contohnya kita boleh lantik tetap kepada dua bahagian iaitu lantik tetap berpencen dan lantik tetap tidak berpencen.

“Lantikan tetap berpencen pula boleh dibahagikan kepada tetap berpencen tetapi mencarum kepada tabung pencen (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Jadi akhirnya kita akan lihat kerajaan tidak akan menanggung beban pencen dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan memastikan skim perkhidmatan baharu penjawat awam itu akan lebih menarik dan dinamik serta pada masa sama penjawat awam baharu akan berasa terpelihara dan terjamin biarpun hanya lantikan kontrak.

Dalam pada itu, Borhan berkata, kerajaan sudah memperkenalkan lantikan tetap tidak berpencen kepada penjawat awam sebelum ini tapi tidak dalam skala besar terutama dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Dalam sistem perkhidmatan ATM, ada lantikan jangka pendek dan dan lantikan jangka panjang,” katanya.

 

© Laman depan